
MUKAH, 23 April 2026 — Pelajar Politeknik Mukah (PMU) terus menunjukkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial apabila berjaya melaksanakan Program Green Heart CSR 4.0 di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Wafi 2, baru-baru ini.
Program tersebut yang dijalankan dengan kerjasama pengerusi PASTI berkenaan memberi impak positif khususnya dalam usaha meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan keselesaan persekitaran pembelajaran kanak-kanak.
Pelajar Semester 4 Diploma Pengajian Perniagaan PMU telah memberi tumpuan kepada aktiviti gotong-royong, pembersihan serta penambahbaikan kemudahan di premis berkenaan. Inisiatif ini bukan sahaja menceriakan suasana PASTI, malah membantu mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk perkembangan kanak-kanak.
Pengarah program, Muhammad Amir Hanafi Abdul Aziz berkata, program tersebut turut memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran insaniah.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah membantu meningkatkan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar. Kami juga bersyukur dapat menyumbang melalui amalan kebajikan kepada masyarakat setempat.
“Kami berharap usaha kecil ini dapat memberi semangat kepada kanak-kanak PASTI untuk terus belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar yang terlibat, Bob Zafran Zohan Affandi, turut berkongsi harapan beliau terhadap impak program tersebut.
“Saya berharap aktiviti gotong-royong dan pembersihan yang kami jalankan ini dapat membawa kegembiraan kepada kanak-kanak PASTI serta memberi mereka suasana pembelajaran yang lebih selesa,” ujarnya.
Dalam pada itu, pensyarah yang terlibat, Siti Khadijah Sebli Joney menyifatkan program ini sebagai platform terbaik untuk pembangunan sahsiah pelajar.
“Program seperti ini sangat penting kerana ia memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar tentang kepentingan tanggungjawab sosial. Selain itu, ia juga membantu membentuk sikap prihatin dan nilai kemanusiaan dalam diri mereka,” jelasnya.
Pengerusi PASTI Al-Wafi 2 turut merakamkan penghargaan atas usaha yang dilakukan oleh pelajar PMU. Menurutnya, program tersebut bukan sahaja menceriakan persekitaran pusat asuhan itu, malah meningkatkan tahap keselesaan kanak-kanak yang mengikuri pembelajaran di situ.
Secara keseluruhannya, Program Green Heart CSR 4.0 dilihat sebagai satu inisiatif yang memberi manfaat besar kepada komuniti setempat. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara institusi pendidikan dengan masyarakat. — PMU

