
KEPALA BATAS, 15 Oktober 2026 – Kolej Komuniti Sungai Petani (KKSP) terus memperkukuh peranan institusi pendidikan dalam menyantuni masyarakat menerusi penganjuran Program Jalinan Kasih Komuniti MADANI 2026 – Komuniti Prihatin Warga Emas di Pusat Jagaan Darul Hannan, Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.
Program yang melibatkan kira-kira 115 orang warga emas bersama sukarelawan dalam kalangan pensyarah dan pelajar KKSP ini bertujuan menyemai nilai kasih sayang, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta memupuk semangat keprihatinan dan kemanusiaan dalam kalangan warga institusi.
Pelbagai aktiviti penjagaan diri dan relaksasi dilaksanakan, termasuk penjagaan kuku, penjagaan wajah, refleksologi tangan serta aromaterapi dan relaksasi. Aktiviti ini bukan sahaja memberikan pengalaman penjagaan diri kepada warga emas, malah membuka ruang kepada interaksi sosial yang mesra dan bermakna antara warga KKSP dengan penghuni pusat jagaan berkenaan.
Selain menyantuni warga emas, program ini turut memperkasakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) apabila seramai 20 orang kakitangan Pusat Jagaan Darul Hannan mengikuti kursus pendek berkaitan kecantikan dan relaksasi. Pendedahan kemahiran ini diharap dapat dimanfaatkan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan diri serta menyokong amalan penjagaan diri pada masa hadapan.
Penganjuran program ini turut memberikan nilai tambah kepada pelajar KKSP melalui pembelajaran berasaskan pengalaman di luar bilik kuliah. Penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan membolehkan pelajar mempraktikkan kemahiran komunikasi, meningkatkan empati serta membina sikap sabar, bertanggungjawab dan menghormati golongan warga emas.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen KKSP dalam memperluas peranan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) agar manfaatnya dapat dinikmati bukan sahaja oleh pelajar, malah oleh masyarakat secara keseluruhan. Usaha ini juga selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan inisiatif Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam memperkasa kesejahteraan komuniti melalui pendidikan, kemahiran dan khidmat bakti.
Bukan sekadar aktiviti, Program Jalinan Kasih Komuniti MADANI 2026 membawa mesej bahawa setiap insan berhak dihormati, disayangi dan dihargai. Melalui usaha menyantuni warga emas dan memperkasa kemahiran komuniti, KKSP terus komited membina masyarakat yang prihatin, inklusif dan sejahtera.
