
Muadzam Shah, 20 Ogos 2026 – Karnival STEAM 2026 yang berlangsung di Politeknik Muadzam Shah (PMS) melabuhkan tirai dengan jayanya selepas menghimpunkan warga PMS, peserta pertandingan serta komuniti sekitar Muadzam Shah dalam pelbagai aktiviti yang mengetengahkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).
Majlis penutupan karnival telah disempurnakan oleh Encik Shahrul Nizam bin Mohamed, Timbalan Pengarah Akademik PMS. Turut hadir Encik Luqman Nul Hakim bin Juwara, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PMS; Encik Mohd Ruhaifi bin Ab Razak, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Rompin (Pembelajaran); serta Ketua Jabatan Perdagangan dan Ketua Jabatan Pengajian Am PMS.
Karnival yang dianjurkan sebagai platform pembelajaran, penerokaan ilmu dan pencetusan kreativiti generasi muda itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik, antaranya Calculus Board Competition peringkat kebangsaan, Calculator Challenge 2026 serta Pertandingan Inovasi STEAM peringkat daerah.
Bagi Calculus Board Competition kategori berkumpulan, Johan dirangkul oleh Politeknik Tun Syed Nasir, diikuti Politeknik Muadzam Shah B sebagai Naib Johan dan Politeknik Ibrahim Sultan B di tempat ketiga.
Dalam kategori individu, Sanyun Yong Ching Yuan dari Politeknik Tun Syed Nasir muncul Johan, manakala Ahmad Nasrullah bin Mohamed dari Politeknik Banting Selangor memenangi Naib Johan. Ling Zhuo Jian dari Politeknik Ungku Omar menduduki tempat ketiga, sementara Darveen A/L Anbarasan dari Politeknik Tun Syed Nasir berada di tempat keempat.
Sementara itu, Calculator Challenge 2026 menyaksikan Hanie Sairish binti Shahrizal muncul sebagai Johan, diikuti Thivya Sre A/P Arasa Ratnam sebagai Naib Johan dan Dhurhaasanan A/L Krishna Khumaran di tempat ketiga. Humaira Batrisyia binti Mohd Harif pula menduduki tempat keempat.
Bagi Pertandingan Inovasi STEAM peringkat daerah, SMK Keratong dinobatkan sebagai penerima anugerah Inovasi Terbaik menerusi projek Apron A.I, diikuti SMK Sungai Puteri dengan VERDIX dan SK (Felda) Keratong 2 dengan Kotak Bundar.
Anugerah Booth Terbaik pula dimenangi SK Buluh Nipis menerusi Smart War Number, manakala SK Kedaik Komprehensif 9 dengan Sistem Fertigasi Automatik menduduki tempat kedua dan SMK Keratong menerusi Hydroshield di tempat ketiga.
Selain pertandingan dan aktiviti berteraskan STEAM, penganjuran karnival turut mendapat sambutan menggalakkan menerusi Jualan Rahmah KPDNKK, yang memberi peluang kepada warga PMS dan komuniti sekitar Muadzam Shah mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Penganjuran Karnival STEAM 2026 membuktikan bahawa pendekatan STEAM mampu menjadi medium berkesan dalam mencungkil potensi, meningkatkan daya kreativiti serta menggalakkan generasi muda menghasilkan idea dan penyelesaian inovatif.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pemenang, peserta, jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan Karnival STEAM 2026. Diharapkan program seumpama ini terus diperkasa sebagai platform membudayakan sains, teknologi, inovasi dan kreativiti dalam kalangan generasi muda selaras dengan aspirasi memperkukuh pendidikan TVET negara.

