
SINTOK, KEDAH – Walaupun sibuk dengan tanggungjawab hakiki sebagai pendidik, dua pensyarah Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) membuktikan bahawa semangat menimba ilmu tidak mengenal batas masa dan usia.
Dr. Adiebah binti Ahmad kini bergelar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perakaunan selepas menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM). Kajian beliau bertajuk “Determinants of Tax Compliance Behaviour Among Malaysian e-Commerce Entrepreneurs” memberi sumbangan penting dalam memahami pematuhan cukai dalam kalangan usahawan e-dagang, khususnya dari aspek kadar audit dan kecekapan sistem percukaian negara.


Turut diraikan, Puan Intan Radina binti Ahmad yang berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dengan projek akhir bertajuk “Determinant of Student’s Enrolment in TVET Programme: A Case Study in Polytechnic Malaysia.” Kertas projek ini menyoroti sebab pelajar memilih program TVET dan bagaimana ia memberi peluang kerjaya yang lebih luas.
Kedua-dua kejayaan ini menjadi inspirasi kepada warga pendidik dan pelajar bahawa ilmu sentiasa berkembang dan usaha memperkukuh diri akan memberi manfaat bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada sistem pendidikan TVET negara.
Log. Abdul Aziz bin Ishak, Ketua Jabatan Perdagangan, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) menzahirkan kebanggaan terhadap dedikasi dua pensyarah ini mengharumkan nama jabatan tersebut.
“Mereka adalah contoh tenaga pengajar yang tidak hanya mengajar tetapi turut belajar. Semangat inilah yang menjadikan politeknik terus relevan dan dinamik,” ujarnya.
Tahniah kepada kedua-dua pensyarah atas kejayaan yang pasti menyuntik semangat baharu dalam dunia pendidikan khususnya kepada warga politeknik dan kolej komuniti (POLYCC).