Keratan Akbar : Setiap hujung minggu ayah berulang alik ke PSA dari rumah kami – Anak  

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
07 March 2024
Lain-Lain

Buletin TV3, 26 Ogos 2023

SHAH ALAM, 26 Ogos 2023 – Pemergian bapa tersayang tidak sempat untuk meraikan kejayaan sebagai penerima Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).

Suasana majlis konvokesyen bertukar hiba apabila anak lelaki kepada Allahyarham Mohd Rozahar Mohd Nor, Alif Alimi Ashraf yang mewakili keluarganya untuk menerima sijil berkenaan.

Unit Komunikasi Korporat PSA dalam kenyataan memaklumkan, Allahyarham Mohd Rozahar 50, meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru, Selasa lalu.

Allahyarham adalah Penolong Kanan Pengeluaran Jabatan Lukisan Elektrisola (M) Sdn Bhd menyambung pengajian peringkat sijil di bawah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat Kursus Terlanggan PSA.

Sijil berkenaan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Muhamad Rumzi Mamat pada Majlis Konvokesyen PSA Kali ke-24 yang diadakan di Dewan Al Jazari di sini hari ini.

Menurut Alif Alimi Ashraf, bapanya sudah lama menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran namun tertangguh akibat faktor kerja dan keluarga.

“Ayah sangat teruja bila dapat sambung belajar dan sangat komited dalam pelajaran.

“Setiap hujung minggu ayah berulang alik ke PSA dari rumah kami di Janda Baik, Pahang,” katanya yang turut ditemani adik perempuan, Alissa Atasha,19 yang juga pelajar Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

Alif Alimi Ashraf berharap adiknya akan meneruskan impian bapa mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, beliau pula akan memberi tumpuan untuk mengambil alih tugas ketua keluarga selepas ketiadaan bapa mereka.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti