Utusan Malaysia, 7 Ogos 2024
KULIM: Hasrat menyambung pengajian hampir sahaja dilupakan seorang remaja dari keluarga kurang berkemampuan walaupun ditawarkan tempat di sebuah universiti awam dan politeknik di sini.
Arif Mahmudi Shamsul, 18, berkata, dia menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Kejuruteraan Bahan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (DEE) di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB).
“Ayah hanya berniaga sendiri secara kecil-kecilan, jadi disebabkan kekangan kewangan, dia tidak mampu nak menanggung yuran pengajian saya di universiti yang mencecah ribuan ringgit.
“Saya juga hampir tolak tawaran ke politeknik kerana mahu bekerja agar dapat bantu meringankan beban kewangan keluarga, namun mujur saya dihubungi seorang pensyarah di PTSB yang meyakinkan saya untuk terus sambung belajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Arif Mahmudi turut berdepan ujian hebat apabila bapanya, Shamsul Ali, 52, meninggal dunia akibat masalah jantung, dua hari sebelum mendaftar.
Anak keempat daripada tujuh beradik berasal dari Taman Kempas, Sungai Petani itu berkata, dia juga kematian ibu sejak masih kecil dan kini hanya menumpang kasih dengan ibu tiri.
“Dua kakak dan abang saya sudah bekerja sebagai juruwang dan bekerja di kilang. Walaupun mereka ada tetapi tanggungjawab untuk menjaga tiga lagi adik-adik kami turut dipikul saya bersama kakak-kakak dan abang.
“Malah, adik saya yang berusia 17 tahun terpaksa berhenti sekolah kerana kekangan kewangan dan kini bekerja di kedai makan, manakala dua lagi adik berusia 13 dan 15 tahun masih belajar di Madrasah Nurul Iman Batu Lima, Sik,” katanya.
Dalam pada itu, pensyarah PTSB, Sharipah Daud yang menghubungi Arif Mahmudi berkata, dia bersungguh-sungguh meyakinkan pelajar itu untuk menyambung pengajian setelah mengetahui kisah dihadapinya.
“Saya katakan kepadanya agar jangan risau tentang bayaran kerana di politeknik yuran hanya sekitar RM200 dan dia juga layak menerima bantuan zakat Kedah sebanyak RM800 serta bantuan lain yang diurus Pusat Dakwah dan Tarbiah Al-Jazari serta Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar PTSB,” katanya.