Keratan Akhbar : 1,539 graduan POLISAS tamatkan pengajian diploma

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
02 October 2025
KERATAN AKHBAR, Malaysia Gazette

MALAYSIAGAZETTE, 22 September 2025

KUALA LUMPUR – Seramai 1,539 graduan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma dan diraikan dalam tiga sidang Majlis Konvokesyen POLISAS Kali Ke-46 yang diadakan di Dewan Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) baru-baru ini, selama dua hari bermula 20 September 2025 bersempena Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Timur 2025.

Penganugerahan diploma kali ini melibatkan kohort sesi 2 2023/2024 dan kohort sesi 1 2024/2025 merangkumi Jabatan Kejuruteraan Awam seramai 367 orang, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (206 orang), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (262 orang), Jabatan Perdagangan (444) dan Jabatan Teknologi Makanan 260 orang.

POLISAS telah melahirkan seramai 62,078 graduan sejak tahun 1976.

Majlis Konvokesyen yang diadakan selama dua hari bermula 20 September lalu bersempena Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Timur 2025 disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah, bagi sidang kedua melibatkan graduan Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Teknologi Makanan.

Bagi sidang ketiga (melibatkan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal) dan keempat (Jabatan Perdagangan) yang berlangsung pada 21 September 2025 pula disempurnakan oleh Principal AJ Surveyors (M) Sdn.Bhd. merangkap CEO of Faculty POLYCC, Prof. Adj. Datuk LSr Johari Wahab dan Pengarah Eksekutif Kanan, MNZWAJA PLT (Chartered Accountants) yang juga merupakan Penasihat Industri bagi program Diploma Akauntasi POLISAS, Datuk Zulkepli Marzuki.

Majlis Konvokesyen ini turut memberi penghargaan dan penghormatan kepada graduan yang menunjukkan dedikasi dan iltizam seperti Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Politeknik dan Jabatan, Anugerah Projek Terbaik serta Anugerah Pengarah Politeknik.

Majlis Konvokesyen POLISAS Ke-46 menobatkan Wan Muhammad Haikal Wan Kamri (Diploma Kejuruteraan Awam) dan Puteri Nur Ilyana Hasnul Hadi (Diploma Teknologi Makanan Pengurusan Halal) sebagai penerima Anugerah Pengarah Politeknik, masing-masing berjaya menamatkan pengajian mereka dengan Himpunan Purata Nilai Mata 3.93 dan 3.77.

Lebih membanggakan, Wan Muhammad Haikal juga merupakan penerima Anugerah Utama Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Timur 2025 iaitu Anugerah Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti.

Anugerah Khas Industri juga diberikan pada tahun ini iaitu sumbangan daripada pihak industri sebagai pengiktirafan kecemerlangan penuntut dalam bidang masing-masing dengan jumlah tajaan keseluruhan bernilai RM45,600 dan juga tajaan biasiswa pendidikan PKT Excellence Award daripada PKT Logistics Groups Sdn. Bhd. dengan nilai keseluruhan sebanyak RM320,000 iaitu RM80,000 setiap seorang yang melibatkan empat graduan cemerlang POLISAS serta sumbangan daripada Persatuan Alumni POLISAS berjumlah RM23,000.00 dalam menjayakan dan melancarkan lagi majlis konvokesyen ini.

Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Timur 2025 juga menghimpunkan para graduan daripada seluruh Politeknik dan Kolej Komuniti Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Perasmian Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Timur 2025 telah berlangsung pada sebelah pagi kelmarin oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan bagi para graduan seluruh POLYCC Zon Timur bagi sidang pertama. – MalaysiaGazette

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti