Berita RTM , 18 Ogos 2024
KUANTAN, 18 Ogos – Anak Pahang digalakkan untuk melanjutkan pengajian ke bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya di politeknik.
Galakan itu sekali gus dapat melahirkan tenaga mahir yang akan menyumbang bakti kepada negeri Pahang.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Datuk Sabariah Saidan berkata, pelajar daripada pelbagai bidang aliran kemahiran diperlukan di Pahang memandangkan banyak projek mega sedang dibangunkan di negeri itu.
“Saya nampak ada kilang-kilang baru. Industri itu memerlukan tenaga-tenaga mahir ini untuk bertugas dan memberi sumbangan kepada negeri. Memberi sumbangan sebenarnya untuk diri mereka sendiri. Kepada yang tidak menyambung pelajaran ke aliran lain, TVET adalah pilihan terbaik bagi mereka,” kata Sabariah.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Moh Festival POLYCC 2024, di sini.
Tambahnya pelbagai kursus disediakan di politeknik seluruh negara dan antaranya yang ditawarkan secara percuma.
Mengulas mengenai program Moh Festival POLYCC 2024 Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan memperkenal dan memperkasa kemahiran TVET.
“Kita ada tiga buah politeknik, 10 buah kolej komuniti, kebanyakan kolej kita berada di kawasan pedalaman dan inilah masanya untuk kita memperkasakan TVET iaitu membangunkan dan mengupayakan komuniti melalui program-program TVET kita.
“Ini sudah tentunya akan memberi satu sumber guna tenaga kerja kepada industri yang sedang giat berkembang di negeri Pahang ini,” kata Dr Zahari.
Jelasnya, melihat kepada kehadiran hampir 10,000 pengunjung ke program tersebut, pihaknya turut berhasrat menyebar luas program sama ke seluruh negara.