Keratan Akhbar : Hiba terima sijil bagi pihak bapa pada majlis konvokesyen

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
05 September 2023
Berita Harian

Berita Harian, 26 Ogos 2023

“Setiap hujung minggu, ayah sanggup berulang alik dari rumah kami di Janda Baik, Pahang, ke Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di Selangor.”

Perkara itu dikongsikan Alif Alimi Ashraf Mohd Rozahar, 22, yang hiba ketika hadir menerima Sijil Kejuruteraan Mekanikal bagi pihak bapanya, Mohd Rozahar Mohd Nor, 50, pada Majlis Konvokesyen PSA Kali Ke-24, di sini, hari ini.

Alif Alimi Ashraf berkata, bapanya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran, namun tertangguh sebelum ini akibat faktor kerja dan keluarga.

Bagaimanapun, hasrat mereka sekeluarga yang teruja untuk meraikan kejayaan Mohd Rozahar pada majlis konvokesyen itu, tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru pada Selasa lalu.

Unit Komunikasi Korporat PSA dalam satu kenyataan memaklumkan, Allahyarham merupakan Penolong Kanan Pengeluaran Jabatan Lukisan Elektrisola (M) Sdn Bhd, dan menyambung pengajian peringkat sijil bawah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat Kursus Terlanggan PSA.

Alif Alimi Ashraf menerima sijil bagi pihak arwah bapanya yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, Muhamad Rumzi Mamat.

Beliau hadir ke majlis konvokesyen itu dengan ditemani adiknya, Alissa Atasha, 19, yang juga pelajar Politeknik Port Dickson di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Alif Alimi Ashraf berharap adiknya akan meneruskan impian bapa mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, manakala beliau pula akan memberi tumpuan mengambil alih tugas ketua keluarga selepas pemergian Allahyarham.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti