

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Kong menyempurnakan Majlis Pra Peluncuran Inisiatif Koperasi sebagai Self Collection Point di Koperasi Politeknik Seberang Prai Bhd (KopPSP). Foto Auris Faqrurazzi/NSTP
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan 100 koperasi seluruh negara menjadi pusat pengambilan barang oleh platform e-dagang ‘Shopee’ bagi memastikan manfaat ekonomi digital dapat dinikmati secara lebih inklusif termasuk komuniti di kawasan luar bandar.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata budaya membeli barang dalam talian dilihat semakin rancak, khususnya selepas pandemik COVID-19 membabitkan kalangan anak muda.
Berikutan itu, beliau berkata, banyak pusat pengambilan barang diwujudkan bagi memudahkan pelanggan mengambil sendiri barangan mereka di pusat terdekat dengan lokasi kediaman.
“Oleh yang demikian, apabila ada koperasi yang bekerjasama dengan platform e-dagang seperti Shopee, ia bukan hanya memberi manfaat kepada pelanggan tetapi juga pihak koperasi yang akan mendapat imbuhan, ganjaran atau komisyen dengan menyediakan ruang sahaja,” katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika merasmikan ‘Self Collection Point’ Shopee Pertama di Pulau Pinang, di Koperasi Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 25 premis koperasi di seluruh negara termasuk dua di Pulau Pinang bekerjasama dengan Shopee sebagai ‘Self Collection Point’
“Selain itu, 61 koperasi di seluruh negara telah menyatakan minat untuk menyertai inisiatif ini dan kini dalam proses saringan oleh pihak Shopee. Di Pulau Pinang terdapat sekitar 819 koperasi dengan 171,713 anggota dengan nilai aset berjumlah RM1.29 bilion.
“Ia sekali gus mencerminkan potensi besar gerakan koperasi di negeri ini untuk terus diperkasakan dalam menyokong pembangunan ekonomi digital,” katanya.
Sumber : Nur Izzati Mohamad https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2026/03/1521280/100-koperasi-sasar-jadi-pusat-pengambilan-barang