Harian Metro, 27 Ogos 2023
Kuala Terengganu: “Gembira… itu saja yang saya mampu ungkap kerana dapat bergraduasi dengan bayi dalam kandungan yang dijangka akan dilahirkan, minggu hadapan,” kata Nurul Fadhilah Johari, 22.
Graduan Diploma Elektrik dan Elektronik itu berkata, dia tidak menyangka akan menghadiri Majlis Konvokesyen Politeknik Kuala Terengganu ke-20 dalam keadaan berbadan dua.
Menurutnya, perasaannya sedikit berdebar kerana hadir dengan kelainan apabila hamil anak sulung dan dijangka bersalin pada minggu hadapan.
“Alhamdulillah, walaupun menempuh perjalanan jauh dari Puncak Alam, Selangor ke Kuala Terengganu, selama tujuh jam, namun keletihan terubat apabila menerima diploma dalam majlis konvokesyen ini.
“Konvensyen ini meninggalkan pengalaman manis buat diri saya kerana hanya seminggu lagi dari tarikh bakal bersalin,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia yang ditemani suami Muhamad Haziq Mat Sofi, 23, mengambil keputusan untuk datang ke Kuala Terengganu bagi meraikan hari bersejarahnya itu.
Katanya, walaupun akan bergelar seorang ibu, namun dia berhajat untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda pada masa depan.
Sementara itu, penerima Anugerah Pengarah, Siti Nur Afifah Sheikh Shamsul Annuar Banafex, 22, dari Kuantan, Pahang berkata, hari ini adalah hari paling bahagia buat dirinya.
“Perasaan bercampur-baur, teruja, gembira apabila diumumkan menerima anugerah (pengarah) ini dan penat lelah bergelar seorang pelajar kini terubat.
“Sekarang saya bertugas sebagai pembantu tadbir di Majlis Sukan Negeri Pahang dan kini berhajat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama iaitu teknologi dan komunikasi.
“Usaha berterusan selain berkat doa ibu bapa membuahkan hasil apabila dinobat sebagai penerima anugerah pengarah dalam konvensyen kali ini,” kata graduan Diploma Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Seramai 164 pelajar terdiri daripada 75 graduan Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan 89 graduan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi diraikan dalam majlis konvokesyen kali ini.