
TAJUK jenayah sindiket penipuan (scammer) antara salah satu pesanan khidmat masyarakat (PSA) yang ditonjolkan dalam bentuk animasi oleh pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Animasi 3D, Kolej Komuniti Besut, Terengganu untuk meningkat kesedaran dalam kalangan orang ramai.
Pengarah Kolej Komuniti Besut, Nik Mohd Kamil Ibrahim @ Nik Hanafi berkata, seramai 20 pelajar Diploma in 3D Animation Technology dan 18 pelajar Sijil Animasi 3D mengambil bahagian.
Ia menerusi ‘showcase’ iaitu Cetusan Idea Pelajar Tahun Akhir 2024 atau CIPTA 7.0.
Katanya, ‘showcase’ berkenaan bertemakan PSA (Public Service Announcement) dengan moto ‘Giving Back To Community’ dilaksanakan bagi mendedahkan pelajar animasi tiga dimensi (3D) dengan isu semasa yang berlaku dalam kehidupan seharian melalui animasi 3D.
“Selain isu ‘scammer’, antara tajuk lain yang diketengahkan ialah penjimatan tenaga elektrik, kebakaran hutan serta kempen derma darah.
“Tajuk yang dipilih itu dilihat boleh menarik minat agensi berkaitan untuk turut sama berkolaborasi dengan Kolej Komuniti Besut bagi kempen kesedaran kepada masyarakat melalui pendekatan berbeza iaitu animasi 3D.
“Tema dipilih tahun ini berbeza berbanding tahun sebelumnya dan lebih dekat dengan masyarakat,” katanya selepas merasmikan CIPTA 7.0 di kolej komuniti berkenaan.
Katanya, agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Penerangan turut dijemput melihat sendiri pelajar membentangkan hasil projek akhir mereka.
“Kami berhasrat menjalinkan kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menghasilkan lebih banyak projek animasi 3D yang boleh membantu meningkat kesedaran masyarakat dalam pelbagai isu.
“Usaha seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang dengan mempamerkan lebih banyak tema berkonsepkan kehidupan seharian,” katanya.