Keratan Akhbar : ‘Kalau bukan kerana usaha ibu dan kakak, saya tak capai kejayaan ini’

POLITEKNIK SEBERANG PERAI
06 September 2023
Harian Metro

Harian Metro, 5 September 2023

Bukit Mertajam: Pada mulanya Aidil Afiq Muhamed Hanif nekad tidak mahu menyambung pengajian dan ingin terus kerja mencari wang apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehnya tidak memberangsangkan.

Namun, kakaknya, Ainul Dafinah, 23 dan ibunya, Ameenah Begam Samsudin, 49 melakukan sesuatu di luar pengetahuannya apabila membuat permohonan kemasukan ke politeknik untuknya.

Aidil Afiq, 22 berkata, tindakan ibu dan kakaknya membuahkan hasil apabila dia menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Politeknik Seberang Perai (PSP), dan kini berjaya menamatkan pengajian dengan memperoleh Anugerah Pengarah PSP dalam Majlis Konvokesyen ke-22 institusi itu, hari ini.

“Ikutkan saya memang sudah putus asa dan malas fikir pasal belajar sebab keputusan SPM saya agak teruk tetapi entah bagaimana ibu dan kakak saya boleh mohon masuk ke politeknik yang saya tak pernah terfikir langsung.

“Mulanya macam nak menolak tetapi apabila memikirkan keluarga berhasrat melihat saya terus belajar menyebabkan saya penuhi hasrat mereka dan syukur sangat saya ‘menuai’ hasilnya sekarang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) itu menerima piala, wang tunai RM500 serta sumbangan RM1,000 dari Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Selain Aidil Afiq, dua graduan lain turut menerima anugerah sama atas kecemerlangan memperoleh Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.5 ke atas.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia kini melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mikroelektronik di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

“Siapa sangka daripada seorang yang tidak mahu belajar kini saya ‘menjadi’ seseorang, terima kasih kepada keluarga.

“Dalam hidup ini memang kita tidak boleh putus asa kerana banyak lagi peluang dan ruang lain yang boleh tebus kekecewaan kita.

“Mungkin ketika itu ibu dan kakak nampak apa yang saya tidak boleh nampak yang sekarang ia sudah terbukti yang jika tanpa bantuan mereka saya tidak akan rasa kejayaan ini,” katanya.

Majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 1,951 graduan bagi 13 program akan menerima diploma masing-masing.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti