

JITRA – Program Kemuncak Ihya’ Ramadan 2026 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah berlangsung dengan penuh penghayatan dan suasana harmoni di Dewan Sri Mas, POLIMAS dekat sini, baru-baru ini.
Program ini menjadi acara penutup kepada pelbagai aktiviti keagamaan yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan bagi menyemarakkan penghayatan ibadah dalam kalangan warga POLIMAS.
Majlis yang dihadiri oleh pensyarah, kakitangan serta warga sokongan POLIMAS itu bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan melalui pelbagai aktiviti kerohanian di samping memupuk nilai kebersamaan, keprihatinan dan semangat kekeluargaan dalam komuniti kampus.
Antara pengisian utama program ialah Majlis Khatam Al-Quran Perdana yang melibatkan penyertaan warga POLIMAS yang telah mengikuti program tadarus Al-Quran sepanjang Ramadan.
Majlis tersebut menjadi simbolik kepada usaha menghidupkan bulan mulia ini dengan membaca, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran sebagai panduan kehidupan.
Terdahulu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, dalam ucapan perasmiannya, menyeru warga POLIMAS agar memanfaatkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan membaca dan memahami al-Quran sebagai wahyu Allah SWT dan panduan utama umat Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan, daripada ibadah, akhlak, hingga hukum-hakam.
Beliau turut mengingatkan agar setiap individu sentiasa berbuat baik sesama manusia serta memelihara hubungan silaturahim dalam kehidupan seharian.
“Nilai kasih sayang dan sikap saling membantu perlu terus dipupuk bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Kepentingan memperbanyakkan amalan bersedekah sepanjang Ramadan kerana ganjaran pahala yang dijanjikan amat besar,”katanya.
Katanya lagi, amalan bersedekah bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, malah mampu mendidik jiwa agar lebih bersyukur dan pemurah.
Sementara itu, Pengurus Program merangkap Pengerusi Pusat Islam POLIMAS, Md Hilmy Sulaiman, berkata penganjuran program ini bertujuan memperkukuh nilai spiritual dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus.
“Program ini bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi merupakan usaha berterusan untuk menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan warga POLIMAS.
“Kami berharap program seperti ini dapat membentuk komuniti kampus yang lebih prihatin, saling menghormati dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau turut berharap semangat kebersamaan yang terjalin melalui program tersebut dapat diteruskan walaupun selepas Ramadan berakhir.
Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan Bakul Syawal kepada golongan yang memerlukan dalam kalangan warga sokongan kampus seperti pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan.
Sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Salah seorang penerima yang diraikan, Sobri Abd Ghani, pekerja kebersihan di POLIMAS, meluahkan rasa syukur atas keprihatinan pihak pengurusan politeknik.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan POLIMAS atas sumbangan ini. Walaupun mungkin kecil bagi sesetengah pihak, bagi kami ia sangat bermakna dalam membantu membuat persiapan menyambut Hari Raya bersama keluarga,” katanya dengan penuh rasa terharu.
Penerima lain, Rosnani Husin turut menyifatkan sumbangan tersebut sebagai tanda penghargaan kepada golongan pekerja sokongan yang sering berada di belakang tabir.
“Sumbangan ini menunjukkan bahawa pihak POLIMAS tidak melupakan kami yang bertugas menjaga kebersihan kampus setiap hari. Kami sangat menghargai keprihatinan ini dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” ujarnya.
Bagi Muhamad Qadri Badrul Hisham, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di kampus itu, sumbangan tersebut memberi makna yang cukup besar menjelang Aidilfitri.
“Saya sangat berterima kasih kepada pihak pengurusan POLIMAS atas sumbangan bakul Syawal ini. Ia bukan sahaja membantu dari segi persiapan raya, malah membuatkan kami rasa dihargai sebagai sebahagian daripada keluarga besar POLIMAS,” katanya.
Program Ihya’ Ramadan ini diharapkan dapat memberi kesan positif kepada warga POLIMAS untuk terus meningkatkan amalan ibadah serta mengekalkan semangat kebersamaan dan keprihatinan yang dipupuk sepanjang bulan Ramadan.-SUARA.TV
Sumber : SUARA.TV , 16 Mac 2026