Harian Metro, 8 Oktober 2023
Kuantan: Sokongan sektor industri dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadikan program yang ditawarkan politeknik dan kolej komuniti relevan seiring dengan keperluan semasa.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, penyertaan pihak industri kini semakin bertambah apabila terdapat lebih 14,000 pengiat industri atau syarikat terbabit.
Menurutnya, terdapat sebanyak 36 politeknik dan 105 kolej komuniti seluruh negara yang mampu menyumbang tenaga kerja teknikal sebanyak 40 peratus.
“Kadar kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti melonjak sehingga 95.32 peratus pada tahun lalu.
“Ia menyumbang sebanyak 40 peratus tenaga kerja teknikal terbesar negara, di mana hampir 50 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam bidang yang mereka pelajari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) ke-44, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Polisas Norehan Silek.
Pada majlis berkenaan, seramai 1,687 pelajar menerima diploma masing-masing.