Keratan akhbar : PUO tingkat kualiti TVET menerusi perjanjian kerjasama 18 agensi, pihak industri

POLITEKNIK UNGKU OMAR
02 October 2023
Utusan Malaysia

Utusan Malaysia, 27 Julai 2023

IPOH: Politeknik Ungku Omar (PUO) meningkatkan kualiti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama perkongsian dua hala dalam aspek kepakaran dan penyediaan latihan bersama 18 agensi dan pihak industri di negeri ini.

Kerjasama itu dimeterai pada majlis menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik bersama 18 agensi tersebut di PUO di sini hari ini.

Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, kerjasama itu melibatkan sektor perkilangan, perniagaan dan perkhidmatan serta kerajaan.

Beliau berkata, kerjasama itu membolehkan penyediaan tempat latihan industri pelajar dan sangkutan industri untuk pensyarah, perkongsian kepakaran industri sebagai pensyarah pelawat, sumbangan peralatan dan geran penyelidikan.

“Kerjasama ini juga secara tidak langsung membantu penambahbaikan sistem pengajaran dan pembelajaran PUO agar terus kekal relevan serta selari dengan kehendak semasa industri.

“Apa yang kita ada hari ini, berbeza dengan apa yang dihadapi anak-anak masa depan. Revolusi digital, gelombang artificial intelligencer, dominasi automasi dan teknologi lain yang pesat berkembang telah memaksa kita untuk tidak berdiam diri.

“TVET harus relevan, futute-driven, harus padan dengan kehendak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Media, Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Industri dan Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik di Dewan Jubli PUO di sini.

Majlis menandatangani disaksikan Ketua Pusat Korporat, Hubungan Industri dan Kebolehpasaran (CISEC) PUO, Dr Aishah Sheikh Abu Bakar.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Trans Resources Corporation Sdn Bhd yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Industri, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Tan Sri Sufri Mohd Zin.

Agensi dan pihak industri yang terlibat dalam kerjasama itu ialah YC Lee Architect, CSME Consortium, GB Kuari Sdn Bhd, Kelab Kesenian Kompang dan Gamelan, Sigtech Engineering Sdn Bhd, TM Technology Services Sdn Bhd, Revenue Discovery Sdn Bhd.

Turut terlibat, Powerit Solution Sdn Bhd, Favotech System Sdn Bhd, Kolej Vokasional Seri Manjung, Ingeniouscity Solution, Hartalega Sdn Bhd, Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd, Eduspace Enterprise, Hovid Sdn Bhd, Kamaya Electric (M) Sdn Bhd dan Weldmart.

Dalam majlis sama, PUO turut menghargai sumbangan pengamal media dengan penyampaian sijil penghargaan kepada 21 agensi di Perak. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti