Keratan Akhbar : PUO tuan rumah Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa India-Malaysia

POLITEKNIK UNGKU OMAR
13 October 2023
Lain-Lain

PERAKTASTIC , 4 APRIL 2023

IPOH: Politeknik Ungku Omar (PUO) menjadi tuan rumah bagi Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa India ke Malaysia yang berlangsung selama enam hari, bermula 26 Mac hingga 1 April lalu.

PUO dalam kenyataan hari ini berkata, objektif utama ia dianjurkan adalah untuk meningkatkan pengetahuan para pelajar melalui kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman. Di samping memberi pendedahan kepada kepelbagaian aspek budaya, pendidikan dan ekologi negara lain serta mempersiapkan mereka untuk peningkatan kerjaya di masa hadapan.

“Delegasi yang terdiri daripada tiga orang pensyarah dan 30 pelajar dari Dr. M.G.R Educational and Research Institute dan Francis Xavier Engineering College telah menyertai program ini di bawah pimpinan Profesor Dr K Balasubramian. Selama berada di PUO, para pelajar telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti taklimat mengenai program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia. Selain lawatan ke makmal akademik PUO seperti Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Perkapalan, sesi perkongsian ilmu bersama pensyarah, serta lawatan ke lokasi menarik di sekitar Ipoh,” katanya. Katanya lagi, pelajar turut diperkenalkan dengan kebudayaan Malaysia melalui permainan tradisional dan kelas tarian kebudayaan. Sementara itu, Majlis Penutup Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa India-Malaysia telah berlangsung pada Jumaat lalu. Menurut kenyataan itu lagi, rata-rata peserta menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang sudi menerima dan mengaturkan program ini sebagai usaha melestarikan proses pertukaran ilmu serta mencetuskan hubungan kerjasama baharu dalam TVET. “Program ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada peserta dan meningkatkan lagi hubungan antara India dan Malaysia dalam bidang pendidikan dan kebudayaan. PUO juga berharap dapat meneruskan usaha ini dan melaksanakan lebih banyak program mobiliti seumpama ini di masa depan,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti