KKBGD guna kepakaran bantu masyarakat

KOLEJ KOMUNITI BAGAN DATUK
08 March 2024
Aktiviti Pelajar, Komuniti

7 Mac 2024, Hutan Melintang – Kolej Komuniti Bagan Datuk dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat yang bertujuan memberikan servis motosikal secara percuma kepada penduduk setempat.

Sebanyak 100 buah motosikal berjaya disenggara oleh tenaga mahir yang terdiri daripada 8 orang pensyarah dan 20 orang pelajar dari Program Sijil Teknologi Penyenggaraan Motosikal Berkuasa Tinggi. Servis motosikal yang disediakan merangkumi penyenggaraan am seperti penukaran minyak hitam dan penapis minyak, pelarasan rantai, pemeriksaan tekanan angin tayar serta pengecaman dan penyelesaian masalah kecil.

Program ini dihadiri oleh YB Puan Wasanthee A/P Sinnasamy yang merupakan ADUN Hutan Melintang. Beliau turut menyokong inisiatif kegiatan masyarakat yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

Program ini tidak hanya memberikan manfaat kepada penduduk Hutan Melintang dengan menyediakan servis motosikal percuma, tetapi juga memberikan peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran teknikal mereka dan menjalankan tanggungjawab sosial. Bertepatan dengan objektif utama program iaitu meningkatkan sikap kesukarelawanan dalam kalangan pelajar, sambil menyumbang kepada kemajuan masyarakat setempat.

Turut hadir, Ir Mohd Fadli bin Osman, Pengarah Kolej Komuniti Bagan Datuk serta pegawai-pegawai lain.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti