
Arau, 28 November 2025 – Pasukan inovator daripada Program Teknologi Senibina, Kolej Komuniti Arau berjaya mengharumkan nama institusi apabila meraih Pingat Emas dalam kategori Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran di Virtual Innovation Competition Exhibition (VICE’25) yang berlangsung secara dalam talian bertemakan “Generasi Inovatif : Daripada Idea ke Realiti”.
Inovasi yang dikenali sebagai ISOBLIQ merupakan alat bantu pengajaran yang direka bagi menyokong pembelajaran lukisan isometrik dan oblik bagi pelajar-pelajar Sijil Teknologi Senibina khususnya untuk Kursus STS10053 Asas Lukisan Senibina. Melihat kepada cabaran pelajar dalam mengekalkan ketepatan sudut dan ukuran ketika menghasilkan lukisan 3D, pasukan ini menghasilkan set square inovatif yang menggabungkan sudut piawai serta panduan berskala bagi meningkatkan ketepatan dan kefahaman visual.
Pasukan inovator ini diketuai oleh Ts. Nur Syazalina binti Hanafi bersama dua orang ahli iaitu Ts. Hazwani Rifhan binti Halim dan Puan Zuraida binti Zulkifli yang semuanya merupakan pensyarah Program Teknologi Senibina di Kolej Komuniti Arau. Menurut ketua inovator, pembangunan ISOBLIQ memberi peluang kepada pensyarah untuk memperkenalkan pendekatan PdP yang lebih sistematik dan mudah diikuti pelajar selain menyokong keperluan pembelajaran berasaskan kemahiran dalam TVET.
Inovasi ini turut berpotensi untuk dikembangkan kepada modul pengajaran yang lebih komprehensif, penghasilan bahan video PdP interaktif serta integrasi dalam pelbagai pertandingan kemahiran berkaitan lukisan teknikal. Penganjuran VICE’25 menyediakan platform bagi warga pendidikan TVET mempamerkan hasil inovasi yang mampu memberi impak kepada ekosistem pembelajaran. Kejayaan meraih Pingat Emas ini membuktikan keupayaan Kolej Komuniti Arau dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi serta daya saing dalam arena inovasi kebangsaan dan antarabangsa.
Video penuh pembentangan inovasi ISOBLIQ boleh ditonton di pautan :

Senarai penuh pemenang turut boleh dirujuk di :

Kejayaan ini sekali lagi mengukuhkan komitmen Kolej Komuniti Arau dalam melahirkan pendidik dan inovator yang mampu mencetuskan perubahan dalam landskap pengajaran dan pembelajaran selari dengan agenda digitalisasi dan inovasi pendidikan negara.

