
MERSING, 20 April – Kolej Komuniti Jempol (KKJNS) terus memperkukuh peranannya dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui penglibatan aktif dalam projek pemasangan sistem solar fotovolta (PV) pada bot nelayan di sekitar Mersing.
Projek berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menerusi platform Sadaqa House, yang menyasarkan pemasangan sistem solar PV pada 24 buah bot nelayan tempatan.
Inisiatif itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan terdahulu, selain mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa penggunaan teknologi tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan komuniti nelayan.
Pelaksanaan projek melibatkan beberapa fasa utama, termasuk tinjauan tapak, sesi pemindahan ilmu serta pemasangan sistem secara praktikal di lokasi sebenar.
Kemuncak program berlangsung pada 18 hingga 19 April 2026 di Jeti Penyabong dan Jeti Mersing, dengan penyertaan pensyarah serta pelajar daripada pelbagai institusi rakan kerjasama.
Penglibatan itu memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan teknikal dalam persekitaran sebenar, sekali gus memperkukuh kemahiran praktikal serta tahap profesionalisme dalam bidang berkaitan.
Selain menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui, projek berkenaan turut menjadi platform penting dalam mempererat jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, industri dan masyarakat setempat.
Sementara itu, Pengarah KKJNS, Amalulkhair Sarbini bersama Timbalan Pengarah Pengurusan, Azawati Abu Talib turut hadir sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan program berkenaan.
Usaha seumpama ini diharap dapat diteruskan secara berterusan dalam melahirkan graduan TVET yang holistik, berkemahiran tinggi serta berdaya saing, di samping memberi impak positif kepada pembangunan komuniti secara lestari.

