Kolej Komuniti Jerantut Bawa Pulang Piala Pusingan PolyCC SustAward 2025

KOLEJ KOMUNITI JERANTUT
12 March 2026
BERITA, Umum

Ipoh, 29 September 2025 – Kolej Komuniti Jerantut (KKJP) melakar sejarah apabila berjaya mendominasi kesemua tujuh kategori bidang tumpuan yang dipertandingkan, sekaligus muncul sebagai satu-satunya institusi yang berjaya membawa pulang kemenangan penuh sehingga dinobatkan sebagai penerima sulung Anugerah Kemuncak – Anugerah Unggul Kemampanan SmartGreen PolyCCSustAward 2025.

Penganugerahan ini menyaksikan KKJP membawa pulang Piala Pusingan edisi sulung, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi peneraju kelestarian dalam ekosistem Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).

KKJP berjaya meraih Johan bagi kategori Pengurusan Air dan Pengurusan Sisa dan Naib Johan bagi lima lagi kategori iaitu Pengurusan Tenaga dan Perubahan Iklim, Pengangkutan, Pengurusan Pendidikan dan Penyelidikan, Pengurusan Alam Sekitar dan Lanskap serta Perolehan Hijau.

Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Hotel Casuarina, Ipoh ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail. Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi di bawah penganjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pengarah KKJP, Azad Muslim Muhammad berkata kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama seluruh warga kolej bersama komuniti dan rakan industri dalam melaksanakan inisiatif hijau yang berterusan.

“Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada usaha kolej untuk terus memperkukuh agenda kelestarian di peringkat tempatan dan nasional”, katanya.

Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama KKJP ke persada pendidikan tinggi negara, malah turut menjadi penanda aras baharu kepada POLYCC lain untuk lebih giat mengarusperdanakan agenda kelestarian sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan negara.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti