KOLEJ KOMUNITI JERANTUT MINI BETTA FLARE 2026: PENCINTA BETTA BERHIMPUN

KOLEJ KOMUNITI JERANTUT
07 May 2026
BERITA, Komuniti, Umum

JERANTUT, 2 Mei – Kolej Komuniti Jerantut sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya menganjurkan Program Mini Betta Flare 2026 yang berlangsung meriah dengan penyertaan ramai peminat ikan laga atau Betta dari seluruh negeri. Program ini telah dirasmikan oleh wakil kepada YB Tuan Haris Salleh Bin Hamzah (Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang) iaitu Tn. Hj. Abu Kasim Bin Abd Rahman yang hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian serta menyatakan sokongan terhadap pembangunan industri ikan hiasan di negeri ini. Menurut beliau, penganjuran program seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada peminat ikan Betta untuk berkumpul dan berkongsi ilmu, malah mampu membuka peluang keusahawanan yang berpotensi besar kepada golongan muda.

Pertandingan tersebut menyaksikan persaingan sengit dalam pelbagai kategori sebelum peserta dari Temerloh, Mr Yong, berjaya dinobatkan sebagai Grand Champion selepas menampilkan ikan Betta terbaik sepanjang pertandingan. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500 berserta trofi kemenangan. Sementara itu, bagi kategori Division Champion, setiap pemenang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM100 berserta trofi sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka dalam kategori masing-masing.

Pihak penganjur menyifatkan sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan menunjukkan minat masyarakat terhadap industri ikan hiasan semakin berkembang, khususnya dalam kalangan belia. Program ini juga menjadi platform terbaik dalam memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat, selaras dengan usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui aktiviti berimpak tinggi. Kejayaan penganjuran Mini Betta Flare 2026 membuktikan bahawa Kolej Komuniti Jerantut terus komited dalam melahirkan komuniti berilmu, berkemahiran dan berdaya saing dalam bidang akuakultur serta keusahawanan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti