

SEBERANG PERAI, 21 September 2026 – Kolej Komuniti Kota Tinggi mencipta kejayaan membanggakan di pentas kebangsaan apabila pelajar Kolej Komuniti Kota Tinggi, Edliena Zarisya binti Muhamad Zin, berjaya meraih Naib Johan Grand Finale Silver Tongue Elite 2026: Malaysia POLYCC Creative Communication Challenge yang berlangsung di Politeknik Seberang Perai.
Kejayaan tersebut merupakan pencapaian membanggakan buat Kolej Komuniti Kota Tinggi apabila Edliena berjaya menempatkan diri dalam kalangan 10 finalis terbaik daripada institusi Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia sebelum tampil cemerlang dalam pertandingan akhir. Pencapaian ini sekali gus menyerlahkan keupayaan pelajar Kolej Komuniti Kota Tinggi untuk bersaing di peringkat kebangsaan dalam bidang komunikasi Bahasa Inggeris, pengucapan awam, kreativiti serta penyampaian idea.
Silver Tongue Elite 2026 menjadi platform untuk mengetengahkan bakat pelajar POLYCC dalam komunikasi yang kreatif, yakin dan berkesan. Para finalis dinilai berdasarkan aspek kreativiti, keyakinan, penyampaian serta keberkesanan komunikasi oleh barisan juri yang terdiri daripada Encik Mohd Jamsari bin Hashim dari Management & Science University (MSU) selaku Ketua Juri serta Miss Ina, 2nd Runner-Up Kilauan Emas 2024, Astro.
Menurut Edliena, kejayaan tersebut menjadi pengalaman yang sangat bermakna dan meningkatkan keyakinannya untuk terus mencabar diri. “Saya amat bersyukur atas pencapaian ini. Pengalaman bertanding di peringkat kebangsaan banyak mengajar saya untuk lebih yakin, berani dan sentiasa memberikan yang terbaik. Terima kasih kepada pensyarah, pihak kolej dan semua yang sentiasa memberi sokongan sepanjang pertandingan ini,” katanya.
Keputusan akhir menyaksikan Sabarish A/L Ramesh dari Politeknik Metro Tasek Gelugor dinobatkan sebagai Juara, manakala Edliena Zarisya binti Muhamad Zin dari Kolej Komuniti Kota Tinggi meraih Naib Johan, diikuti Nurul Iman Irdina binti Azizi dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah di tempat ketiga.
Kejayaan ini mencerminkan keupayaan dan potensi pelajar Kolej Komuniti Kota Tinggi untuk tampil yakin serta kompetitif di peringkat kebangsaan. Pencapaian Edliena turut menjadi satu lagi kejayaan yang membanggakan institusi dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja menguasai bidang kemahiran, malah berkebolehan dalam komunikasi, kreativiti dan pengucapan awam.
