Kolej Komuniti Kuantan Terajui Inovasi PPRN 2.0 Melalui Pembangunan Mesin CRAFT

KOLEJ KOMUNITI KUANTAN
29 June 2026
Penyelidikan dan Inovasi

SELANGOR, 25 Jun 2026 – Kolej Komuniti Kuantan terus memperkukuh peranannya sebagai institusi TVET yang memacu inovasi apabila berjaya membangunkan mesin Container Recognition and AI Labelling Technology (CRAFT) menerusi Geran Public-Private Research Network (PPRN) 2.0.

Majlis penyerahan mesin CRAFT yang bertempat di premis syarikat Adia Global, telah disempurnakan oleh Pengarah Kolej Komuniti Kuantan, Mohammad Azwan Ja’afar, dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah Unit Pengkomersialan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Mohd Norhadi Muda, serta Ketua Pegawai Eksekutif Adia Global (M) Sdn. Bhd., Norhaidah Samlee.

Pembangunan mesin CRAFT merupakan hasil kerjasama strategik antara Kolej Komuniti Kuantan dan Adia Global bagi menyelesaikan isu pelabelan produk secara manual yang menjejaskan ketepatan, keseragaman pembungkusan serta penggunaan tenaga kerja yang tinggi.

Menggabungkan teknologi automasi, sensor pengesanan, sistem Human Machine Interface (HMI) dan pencetak tarikh luput automatik, mesin CRAFT berjaya meningkatkan kapasiti pelabelan daripada kira-kira lima balang seminit kepada 35 hingga 40 balang seminit, selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja sehingga 80 peratus.

Menurut Pengarah Kolej Komuniti Kuantan, Mohammad Azwan Ja’afar ketika berucap sempena Majlis Penyerahan, kejayaan ini membuktikan bahawa institusi TVET bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir, malah mampu menjadi rakan strategik industri dalam membangunkan penyelesaian inovatif yang praktikal dan berimpak tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Adia Global (M) Sdn. Bhd., Puan Norhaidah Samlee menyifatkan projek CRAFT sebagai contoh terbaik yang membuktikan bahawa kepakaran akademik mampu diterjemahkan kepada penyelesaian teknologi yang memenuhi keperluan sebenar industri.

Kejayaan projek ini membuktikan keberkesanan pendekatan PPRN 2.0 dalam memperkukuh kolaborasi strategik antara institusi pendidikan tinggi dan industri, sekali gus meningkatkan produktiviti serta memperkasakan daya saing usahawan tempatan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti