Kolej Komuniti Kuching perkasa pelajar berkeperluan khas melalui Program ‘Daily Life Skills 2026’

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
17 March 2026
Aktiviti Pelajar

KUCHING, 17 Mac 2026— Unit Sijil Khas Jahitan Kreatif, Kolej Komuniti Kuching (KKKG) hari ini menganjurkan Program Daily Life Skills 2026 sebagai inisiatif proaktif dalam memperkasa pelajar berkeperluan khas dengan kemahiran asas kehidupan yang kritikal.

Program yang berlangsung di Bilik Mesyuarat KKKG itu bertujuan memberi pendedahan praktikal bagi membantu golongan pelajar ini menjalani kehidupan harian dengan lebih berdikari serta meningkatkan keyakinan diri mereka.

Pensyarah KJT KKKG, Nor Syarquella Ernie Khalid berkata, tumpuan utama program diberikan kepada enam aspek penting iaitu pengurusan diri, pengurusan wang, keselamatan dalam penggunaan teknologi maklumat (ICT), kemahiran sosial, pengurusan masa, serta kemahiran asas dapur.

“Program ini dirancang bagi membimbing pelajar secara berstruktur agar mereka dapat mengaplikasikan kemahiran penting seperti amalan kebersihan diri, membuat pilihan pembelian yang bijak, serta penggunaan telefon bimbit secara berhemah dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan yang turut menghantar penceramah jemputan.

Antara pengisian utama aktiviti termasuklah slot pengurusan masa dan kemahiran sosial dibimbing oleh Pegawai Psikologi, Mariana Baliron Lenjau. Selain itu, slot pengurusan kewangan dan kemahiran dapur asas pula dikendalikan oleh Nurul Earliana Nordin, Jurupulih Perubatan Fisioterapi.

Selain penekanan terhadap kemahiran teknikal, program ini turut memfokuskan kepada pembentukan disiplin dan penerapan nilai adab dalam interaksi sosial bagi memastikan pelajar dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam kalangan masyarakat. Secara keseluruhannya, inisiatif ini diharap dapat menjadi platform pembelajaran berkesan yang mampu memperkasa kemahiran kefungsian pelajar berkeperluan khas agar mereka lebih bersedia mendepani cabaran masa hadapan yang semakin mencabar.

Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KKKG dalam menyediakan pendidikan inklusif yang melampaui pembelajaran asas di dalam bilik darjah bagi memastikan kebajikan dan pembangunan modal insan pelajar khas sentiasa terbela.

Turut hadir Timbalan Pengarah Akademik, Nurul Hidayah Yussof dan Ketua Program Sijil Khas Jahitan Kreatif Gracienthy Goen.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti