
22 Oktober 2025, Segamat – Alhamdulillah, satu lagi sejarah tercipta apabila Kolej Komuniti Segamat (KKS) berjaya memperoleh pengiktirafan persijilan ISO 21001:2018 – Educational Organizations Management System (EOMS) daripada SIRIM QAS International.
Audit Stage 2 telah dijalankan pada 21 hingga 22 Oktober 2025, dan hasilnya amat membanggakan apabila KKS berjaya lulus tanpa sebarang Non-Conformity Report (NCR) – satu pencapaian yang melambangkan kecemerlangan sistem pengurusan organisasi pendidikan di kolej ini.
Lebih istimewa, ini merupakan julung kalinya Kolej Komuniti Segamat memohon pensijilan EOMS 21001, sekali gus menjadikan kejayaan ini amat bermakna buat seluruh warga kolej. Pensijilan ini membuktikan komitmen KKS terhadap pelaksanaan sistem pengurusan pendidikan yang berkualiti, berstruktur dan menepati piawaian antarabangsa.
ISO 21001:2018 memberi penekanan kepada keberkesanan sistem pengurusan dalam organisasi pendidikan bagi memastikan kualiti perkhidmatan dan proses pembelajaran sentiasa ditambah baik serta memenuhi keperluan pelajar dan pihak berkepentingan.
Pihak pengurusan KKS menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga kolej atas dedikasi dan kerjasama padu yang diberikan sepanjang proses persediaan dan audit dijalankan.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk KKS terus melangkah maju sebagai institusi TVET unggul yang menerapkan budaya kerja berkualiti dan komited terhadap kecemerlangan pendidikan.

