Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (HBKIK) 2026 Peringkat Kebangsaan Lonjakkan Budaya Inovasi Dan Kecemerlangan TVET

Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (HBKIK) 2026 Peringkat Kebangsaan Lonjakkan Budaya Inovasi Dan Kecemerlangan TVET

POLITEKNIK SEBERANG PERAI
16 July 2026
Penyelidikan dan Inovasi

Seberang Perai, 15 Julai – Politeknik Seberang Perai (PSP) berjaya menganjurkan Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama tiga hari, dari 13 hingga 15 Julai 2026, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai institusi TVET yang komited dalam memperkasa budaya inovasi, kreativiti dan penambahbaikan berterusan dalam kalangan warga Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia.

Konvensyen anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang berlangsung di Dewan Seri Mutiara, Politeknik Seberang Perai itu menghimpunkan penyertaan daripada institusi Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara bagi mempertandingkan pelbagai projek inovasi yang berimpak tinggi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh kecemerlangan sektor TVET.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi. Turut hadir ialah YBrs. Tn. Hj. Ulaimi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), JPPKK; YBrs. Dr. Shahiza binti Ahmad Zainuddin, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, JPPKK; YBrs. En. Cheah Chee Fong, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, JPPKK; serta para Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh negara.

Majlis dimulakan dengan tayangan montaj sorotan HBKIK 2026, Penang Idea-X Challenge 2026 dan Simposium Pengkomersialan Politeknik dan Kolej Komuniti (SIPPKO) 2026, diikuti ulasan Ketua Juri, ucapan aluan oleh Pengarah Politeknik Seberang Perai, YBrs. Tuan Haji Mohd Ruzi bin Hamzah, serta ucapan Perasmian Penutup oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan.

Selain penyampaian anugerah kepada para pemenang, majlis turut menyaksikan pertukaran Letter of Intent (LOI) antara Politeknik Seberang Perai dan rakan industri serta penyampaian sijil Training of Trainers (TOT) Fundamentals of Semiconductor Package Assembly & Test (SAT-Lite) hasil kerjasama bersama Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kolaborasi strategik antara institusi TVET dan industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Sepanjang tiga hari penganjuran, para peserta mempersembahkan pelbagai inovasi yang kreatif, praktikal dan berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya dalam sistem penyampaian perkhidmatan serta pengurusan organisasi. Reruai pameran yang disediakan turut mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung yang berpeluang melihat sendiri hasil inovasi dan kreativiti warga Politeknik serta Kolej Komuniti.

Politeknik Seberang Perai turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta atas komitmen menghasilkan pameran yang kreatif, interaktif dan berkualiti. Penghargaan turut dizahirkan kepada para tetamu kehormat, panel juri, wakil industri, pengunjung serta seluruh warga Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia yang telah bersama-sama menjayakan konvensyen ini.

Ucapan penghargaan khusus turut diberikan kepada seluruh Jawatankuasa Pelaksana HBKIK 2026 yang terdiri daripada warga kerja dan para pelajar Politeknik Seberang Perai atas dedikasi, komitmen serta kerjasama sepanjang perancangan dan pelaksanaan program sehingga konvensyen ini berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.

Tahniah turut diucapkan kepada dua kumpulan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Politeknik Seberang Perai yang telah mewakili PSP dalam konvensyen kali ini. Penyertaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan PSP dalam membudayakan inovasi, kreativiti dan penambahbaikan berterusan sebagai asas kepada kecemerlangan organisasi.

Bagi keputusan pertandingan, Politeknik Port Dickson muncul sebagai Juara Keseluruhan HBKIK 2026 dan turut diumumkan sebagai tuan rumah Konvensyen HBKIK Peringkat Kebangsaan 2027.

Dalam Kategori Bidang Sosial, tempat pertama dimenangi oleh Politeknik Port Dickson, diikuti Politeknik Kuala Terengganu di tempat kedua dan Politeknik Jeli Kelantan di tempat ketiga.

Bagi Kategori Bidang Penyampaian Perkhidmatan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah muncul juara, manakala Politeknik Kota Bharu dan Politeknik Ungku Omar masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, bagi Kategori Pameran, Kolej Komuniti Pasir Gudang dinobatkan sebagai juara, diikuti Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di tempat kedua dan Politeknik Kuching Sarawak di tempat ketiga.

Penganjuran HBKIK 2026 membuktikan komitmen berterusan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta Politeknik Seberang Perai dalam memperkasa budaya inovasi, memperkukuh kolaborasi strategik bersama industri dan melonjakkan kecemerlangan TVET negara. Konvensyen ini bukan sahaja menjadi platform pengiktirafan terhadap hasil inovasi warga Politeknik dan Kolej Komuniti, malah menjadi medan perkongsian amalan terbaik serta pemangkin kepada pembangunan penyelesaian yang lebih kreatif, mampan dan berimpak tinggi demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pendidikan TVET.

Tahniah kepada semua pemenang, peserta dan seluruh warga kerja yang telah menjayakan HBKIK 2026. Semoga budaya inovasi terus diperkasakan demi melahirkan TVET yang lebih unggul, berdaya saing dan berimpak global.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti