Liputan Berita – Ibu hiba terima sijil anumerta anak yang meninggal akibat kanser

POLITEKNIK UNGKU OMAR
27 August 2024
Harian Metro

Ipoh: Biarpun sebak, namun Zawiyah Demanis menguatkan semangat untuk naik ke atas pentas bagi menerima Sijil Diploma Anumerta buat Allahyarham anaknya pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar ke-52 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Ketika ibu bapa lain gembira hadir menyambut kejayaan anak mereka menamatkan pengajian, Zawiyah, 60, dan Shahrir Ahmad Jalaludin, 60, terpaksa melaluinya dalam suasana hiba.

Sijil berkenaan disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada Zawiyah bagi pihak Allahyarham Ahmad Hirfan, 22, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal meninggal dunia akibat kanser synovial sarcoma (ketumbuhan di dalam paru-paru) pada 4 April lalu.

Zawiyah berkata, walaupun hasrat melihat anak bongsunya naik ke atas pentas untuk mengambil ijazah tidak kesampaian, namun dia berbangga dengan pencapaian Allahyarham.

“Arwah seorang periang, suka melawak dan pandai berdikari …dia manfaatkan cuti semester dengan kerja sambilan sebagai mekanik di bengkel kereta di Taiping untuk dapatkan pengalaman.

“Apabila dia beritahu dia rasa sakit kepala dan batuk berdarah, kami terkejut sangat kerana dia tak pernah sakit sejak kecil.

“Mac tahun lalu Hirfan jalani pembedahan untuk mengeluarkan peparu kanan, bagaimana pun selepas itu berlaku lagi ketumbuhan dan dia jalani kemoterapi dari Julai hingga November 2023 lalu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pesara guru itu berkata, biar pun bertarung dengan kesakitan, semangat yang ditunjukkan anaknya untuk kembali sihat amat menyentuh hatinya.

“Semasa majlis persaraan saya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dr Burhanuddin, Taiping akhir Mac lalu, Hirfan dalam keadaan sakit tetap hadir dengan bawa bantal ke pentas untuk raikan saya, dua minggu kemudiannya dia meninggal dunia,” katanya sayu.

Sementara itu, Shahrir berkata, Allahyarham anaknya sangat meminati kereta dan pernah menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang automatif di Perancis atau Jepun selepas tamat graduasi di Politeknik Ungku Omar.

“Saya dan isteri kalau nak rujuk apa-apa mengenai kereta memang akan tanya pada dia.

“Apabila tengok kawan-kawan dia naik ke pentas untuk ambil sijil, kami berdua rasa sedih kerana mengenangkan impian Allahyarham tak kesampaian.

“Sebelum ini saya pernah beritahu pada isteri supaya usah risau masa hadapan Hirfan, tapi Allah lebih menyayangi Hirfan, kami reda dengan ketentuan-Nya,” katanya.

Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr Shamsuri Abdullah berkata, seramai 1,748 graduan diploma dan ijazah sarjana muda berjaya pengajian masing-masing akan bergraduasi pada Istiadat Konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti