IPOH, 7 Disember 2024 – Politeknik Ungku Omar (PUO) dilantik sebagai Pusat Penilaian APEL.A (PPA) Dalaman oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mulai 28 November lalu sekali gus mencatat sejarah bergelar institusi pertama di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang memperoleh status itu.
Pengarahnya, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, APEL.A yang merupakan singkatan bagi Accreditation of Prior Experiential Learning adalah satu proses sistematik yang melibatkan pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu untuk kemasukan ke pelbagai peringkat program pengajian di institusi pengajian tinggi.
“Ia membuka peluang kepada individu yang mempunyai pengalaman kerja tetapi tidak memiliki kelayakan akademik formal untuk
melanjutkan pengajian.
“PPA PUO akan menawarkan tiga tahap Penilaian APEL.A iaitu APEL T-3: Kemasukan ke program Sijil dengan umur minimum 19 tahun, APEL T-4: Kemasukan ke program Diploma (umur minimum 20 tahun) dan APEL T-6: Kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda (umur minimum 21 tahun),” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kriteria asas permohonan APEL.A adalah pemohon mestilah berstatus warganegara Malaysia, mencapai umur minimum yang ditetapkan mengikut peringkat kelayakan serta mempunyai pengalaman kerja bersesuaian.
Shamsuri berkata, pelantikan PUO sebagai PPA bertujuan menyokong hasrat negara dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi dan mempercepatkan laluan pendidikan serta kerjaya.
“Ia juga mengiktiraf pembelajaran tidak formal dan pengalaman kerja serta mampu mengukuhkan keyakinan diri individu untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata, PPA PUO pula berfungsi sebagai pusat sehenti untuk permohonan dan penilaian APEL.A, memberi bimbingan kepada calon sepanjang proses penilaian, mengurus proses penerimaan permohonan dan menetapkan tarikh penilaian serta melantik panel penilai portfolio untuk memastikan penilaian yang telus dan berkualiti.
“Dengan pengiktirafan ini, PUO membuka ruang kepada masyarakat, terutamanya golongan pekerja yang ingin meningkatkan kelayakan akademik mereka tanpa perlu mempunyai kelayakan asas akademik secara konvensional.
“APEL.A menjadi jalan pintas kepada mereka yang memiliki pengalaman luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” ujar beliau.
Maklumat lanjut berkenaan permohonan APEL.A PUO boleh diperolehi dengan menghubungi penyelaras APEL.A PUO (Puan Siti Zarida) di talian 1-300-88-1969. – KOSMO! ONLINE