
KULIM, 30 September – Dalam dunia pendidikan tinggi, pelajar sering dikategorikan dalam dua kotak sama ada mereka “pandai teori” atau “pandai praktikal”. Namun, seorang graduan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) hadir memecahkan kotak tersebut.
Lee Lip Hong, graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik, holistik dalam kedua-duanya. Beliau bukan sahaja mahir teknikal malah celik dalam kemahiran insaniah menjadikannya model ‘Pelajar Bentuk-T’ (T-Shaped Student) yang ideal.

Paksi menegak ‘I’ (kepakaran mendalam) beliau tidak perlu dipersoalkan. Beliau melengkapkan kursus kemahiran tinggi seperti PSH Basic Handling Course for TIG and MIG (kimpalan), mencatatkan HPNM 3.84 dan rekod bersih mengumpul Anugerah Ketua Jabatan pada setiap semester. Projek inovasinya menguasai pertandingan seperti ICCE 2023 dan ICrIPE 2024.
Namun, apa yang paling menarik perhatian ialah paksi melintang ‘—’ (kemahiran luas) beliau. Lee Lip Hong adalah pemenang tempat ketiga dalam CAMP21: Synergising Literacies, satu pertandingan yang tiada kaitan langsung dengan litar mekatronik atau kimpalan.
“Ramai yang terkejut. Mereka kata, Kamu budak enjin, kenapa sibuk dengan kem literasi?”
kongsi Lee Lip Hong sambil tertawa kecil.
“Saya percaya, inovasi paling genius di dunia pun akan gagal jika kita tidak pandai ‘menjual’ idea itu. Bagaimana mahu yakinkan juri antarabangsa di ICrIPE jika komunikasi kita gagal? Kemahiran TIG/MIG itu untuk tangan saya, kemahiran literasi itu untuk mulut dan minda saya.”
Gabungan inilah yang membezakannya. Beliau bukan sahaja boleh mencipta projek yang memenangi Best Project di MEDFEC’23, tetapi beliau juga boleh membentangkan dan memperjuangkan idea itu sehingga dinobat Johan Kategori Design.
Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) PTSB, Azhar Fikri, melihat pencapaian unik ini sebagai satu penanda aras baharu.
“Secara jujur, pencapaian Lee Lip Hong dalam CAMP21 sama pentingnya dengan Anugerah Emas inovasi beliau. Ia menunjukkan beliau mempunyai kemahiran insaniah (soft skills) yang kritikal”, katanya.
“Industri hari ini tidak lagi mencari ‘robot’ yang hanya tahu mengikut arahan. Mereka mahu jurutera yang boleh berkomunikasi, memimpin pasukan dan berfikir kritis. Lee Lip Hong ada pakej lengkap itu. Beliau bukan sahaja berilmu, beliau beretika dan artikulatif”, ujarnya lagi.