
JOHOR BAHRU, 12 Mac 2026 – Program Majlis Penutup Ihya’ Ramadan PMJB 2026 telah berlangsung dengan penuh penghayatan di Politeknik METrO Johor Bahru dengan penyertaan warga kampus yang terdiri daripada pelajar dan staf PMJB.
Pelbagai pengisian telah diadakan sepanjang program antaranya Aktiviti Rewang “Cicah-Cicah Ramadan”, Majlis Khatam al-Quran, PMJB Berselawat serta Bicara Nurani: A Journey of Faith yang bertujuan menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan warga politeknik. Program ini diakhiri dengan iftar jama’ie yang menghimpunkan pelajar dan staf PMJB dalam suasana berbuka puasa secara bersama.
Menariknya, program ini turut menyaksikan penyertaan pelajar bukan Muslim yang bersama-sama memeriahkan majlis berbuka puasa, sekali gus mencerminkan semangat keharmonian dan perpaduan dalam komuniti kampus.
Menurut Pengarah Program, Puan Hasnida binti Ibrahim, penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dan staf serta memupuk nilai kerohanian dalam komuniti kampus.
Salah seorang pelajar bukan Muslim, Gabrielle, turut berkongsi pengalamannya mencuba berpuasa sejak di bangku sekolah rendah. Menurut beliau, minat untuk berpuasa bermula ketika berusia 12 tahun apabila gurunya mencabar beliau untuk berpuasa penuh dengan ganjaran wang tunai. Walaupun tidak berjaya menamatkan puasa penuh pada ketika itu, pengalaman tersebut menjadi titik permulaan untuk beliau mencabar diri secara berperingkat sehingga mampu berpuasa penuh.
Sehingga kini, Gabrielle masih meneruskan amalan tersebut sebagai satu cabaran peribadi dan tanda menghargai pengalaman serta kefahaman terhadap budaya Ramadan.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah PMJB bersama warga kampus yang hadir memeriahkan majlis. Penganjuran program ini melibatkan kerjasama beberapa pihak termasuk Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP), Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP), Rakan Siswa YADIM (RSY) serta beberapa kelab dan unit di PMJB bagi memastikan sambutan Ihya’ Ramadan tahun ini berlangsung dengan meriah dan penuh makna.
