
BATU KAWAN, 27 Julai 2026 – Program Tauliah Industri dan Profesional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTiP) bagi program ”Industrial Competency Certificate in Smart Logistics and Technology 2026” telah bermula pada 26 Julai 2026 dan akan berakhir pada 5 Ogos 2026. Majlis penutup ini telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Ahmad Rizal bin Adnan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Seramai 291 orang peserta telah mengikuti latihan selama 10 hari dalam bidang Smart Logistics and Technology. Peserta akan didedahkan dengan program pendigitalan rantaian bekalan, sistem pengurusan gudang, automasi, Internet of Things serta analitik data. Program ini tidak hanya tertumpu kepada pembelajaran di dalam bilik kuliah malah menyediakan pengalaman pembelajaran autentik melalui perkongsian kepakaran dan pendedahan kepada amalan sebenar industri logistik.
Program ini dijangka menyokong aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Ia seiring dengan transformasi digital, bidang logistik tidak lagi terbatas kepada pengangkutan dan penyimpanan. Sektor ini kini digerakkan oleh automasi, kecerdasan buatan, analitik data dan sistem pintar yang membolehkan keputusan dibuat dengan lebih tepat. Justeru, pembangunan bakat dalam bidang logistik pintar merupakan satu keperluan strategik negara.
Keutamaan ini selaras dengan Logistics and Trade Facilitation Masterplan bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai pintu masuk logistik pilihan ke Asia. Oleh itu, usaha memperkasa kompetensi dalam bidang logistik perlu dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama antara kementerian, institusi pendidikan, badan profesional dan industri. Pendekatan ini penting untuk melahirkan bakat yang berdaya saing serta menyokong pembangunan ekosistem logistik negara yang lebih cekap, berdaya tahan dan berteknologi tinggi sejajar dengan Rancangan Aspirasi Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035, KPT.
Kerjasama antara PKT Logistics Group Sdn. Bhd. dan institusi politeknik terutamanya Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), diperkukuh melalui sokongan berterusan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio dengan menawarkan penajaan biasiswa melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di The Ship Campus, penajaan program, penglibatan sebagai ahli majlis penasihat industri serta khidmat nasihat dan kepakaran sebagai pakar rujuk bidang.
Lebih membanggakan lagi, hasil pelaksanaan program ini turut membuka laluan kerjaya yang jelas kepada para peserta. Seramai 83 orang peserta yang berjaya menamatkan latihan telah diberi peluang mengikuti latihan industri berstruktur di PKT Logistics Group Sdn. Bhd. melalui tawaran kontrak selama setahun, meliputi enam bulan latihan industri dan enam bulan penempatan pekerjaan, dengan elaun sebanyak RM2,200.00 sebulan sepanjang tempoh tersebut. Inisiatif ini membuktikan bahawa program ini bukan sekadar meningkatkan kemahiran, malah menjadi jambatan yang menghubungkan peserta terus kepada peluang pekerjaan berkualiti.
Sumber : Mohd Faizal bin Abu Hassan, Ketua Program