Ipoh: “Saya sedar dapat tinggal di asrama (rumah kebajikan) adalah satu rahmat Allah SWT sebab itu berasa malu mahu minta Abang Syafiq bantu saya sambung pelajaran di politeknik kerana tak mahu membebankannya lagipun adik-adik masih bersekolah.”
Begitu kata Muhammad Izzat Abd Rahman, 18, penghuni Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Al-Faeez, Gombak yang pada mulanya nekad menyembunyikan tawaran pengajian di Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini.
Ini kerana Muhammad Izzat tidak mahu membebankan pengurusan rumah kebajikan berkenaan untuk menampung pengajiannya.
Anak yatim piatu itu juga tidak mahu membebankan abangnya, Muhammad Amirul, 20, yang baru berkhidmat sebagai anggota tentera selain mengakui tidak bersedia meninggalkan rumah kebajikan dan penghuni lain yang dianggap seperti keluarga.
Kisah Muhammad Izzat mendapat perhatian netizen termasuk pihak pengurusan PUO yang membantu kemasukan remaja yang aktif dalam sukan ragbi itu meskipun terlewat sehari untuk membuat pengesahan menerima tawaran berkenaan.
Kisah remaja itu dikongsikan Muhammad Syafiq Mobin, 37, yang juga antara pengasas dan pengurus rumah kebajikan terbabit.
Berkongsi kisahnya, Muhammad Izzat yang juga penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu mengakui dia memasang impian menyambung pelajaran ke menara gading demi masa depan lebih cerah.
“Saya mahu sambung belajar dan minat jurusan elektrik, tetapi saya sedar sebagai anak yatim piatu yang tinggal di rumah kebajikan, saya tidak boleh terlalu meminta kerana ramai adik (penghuni lain) masih bersekolah.
“Saya fikir bagaimana dengan (bayaran) yuran permulaan, barang keperluan juga kerana ini kali pertama mendaftar maka banyak barang perlu dibeli selain perbelanjaan harian. Semua itu membuatkan saya bimbang kerana kos pasti besar.
“Sebab itu saya tak cerita mengenai tawaran itu kerana tak mahu Abang Syafiq dan kawan-kawannya terbeban untuk bantu saya,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, semalam.
Katanya, dia sebak dan terharu apabila Muhammad Syafiq memintanya menerima tawaran itu, malah turut bersedia membantu selepas mendapat tahu berita berkenaan biarpun agak terkilan dengan tindakannya.
“Saya gembira dan terharu kerana dapat sambung belajar, namun sebak kerana terasa saya membebankan biarpun abang Syafiq cakap ia tidak membebankan mereka.
“Apabila pengurusan PUO bersedia membantu kemasukan saya biarpun lewat membuat pengesahan tawaran, saya anggap ia adalah rezeki paling bermakna dalam hidup ini, malah tak sangka orang ramai juga sudi membantu saya,” katanya yang mendaftar kemasukan ke PUO pada Sabtu lalu.
Katanya, sejak ibunya, Rohayati Ato meninggal dunia ketika usianya tujuh tahun, dia dan abangnya dihantar ke rumah kebajikan lain sebelum ditukarkan ke Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Al-Faeez, manakala bapanya, Abd Rahman Abd Hamid pula meninggal dunia pada 2021.
“Terima kasih kepada semua penyumbang dan abang Syafiq, rumah kebajikan serta pengurusan PUO yang membantu saya memudahkan proses ini dengan memberi sumbangan dan doa.
“Ini juga membakar semangat saya untuk belajar dengan baik untuk masa depan yang cerah.”