
Kemalangan jalan raya merupakan satu isu keselamatan awam yang terus menghantui negara-negara di seluruh dunia walaupun pelbagai usaha penambahbaikan telah dilaksanakan. Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa lebih daripada 1.25 juta mangsa maut setiap tahun akibat kemalangan jalan raya, manakala 50 juta mengalami kecederaan, menjadikannya antara penyebab utama kematian bagi golongan muda berusia 15 hingga 29 tahun.
Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi satu gambaran jelas tentang betapa kompleks dan seriusnya isu keselamatan jalan raya. Walaupun pemanduan melebihi had laju, kecuaian dan pelanggaran undang-undang trafik sering disebut sebagai punca utama, faktor fizikal seperti keadaan turapan, geometri jalan dan ciri-ciri persekitaran jalan sebenarnya memainkan peranan yang sangat besar dalam menentukan tahap risiko kemalangan.
Sejumlah besar sumber kewangan dilaburkan setiap tahun di negara kita untuk meningkatkan keselamatan jalan raya melalui penyelenggaraan, pembinaan baharu serta penambahbaikan infrastruktur. Namun, kesan sebenar pelaburan ini tidak semestinya boleh dikaitkan secara langsung dengan penurunan kadar kemalangan. Ini kerana tingkah laku pemandu, perubahan taburan trafik dan faktor persekitaran turut menyumbang kepada risiko kemalangan.
Lebih penting lagi, analisis keselamatan jalan raya sangat bergantung pada ketepatan rekod kemalangan, tetapi pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa ketidaklengkapan atau ketidaktepatan rekod sering menyebabkan kekangan dalam memahami hubungan antara kondisi turapan dan keselamatan.
Hubungan Antara Turapan dan Keselamatan Trafik
Keadaan turapan bukan sekadar isu keselesaan pemanduan, tetapi satu faktor keselamatan kritikal. Turapan yang terlalu licin, rosak, retak, berlubang (pothole) atau mempunyai profil yang tidak rata boleh meningkatkan risiko kemalangan, terutamanya semasa pemanduan laju atau dalam keadaan cuaca basah. Yang menariknya, kajian mendapati bahawa turapan yang terlalu baik dan licin juga boleh mendorong pemandu memandu lebih laju daripada biasa, sekali gus meningkatkan risiko impak kemalangan apabila berlaku perlanggaran.
Sebaliknya, turapan yang rosak menyebabkan pemandu hilang kawalan kerana kenderaan terpaksa membuat pelarasan berterusan bagi mengelakkan lubang atau ketidaksamarataan permukaan. Kedua-dua ekstrem ini, sama ada terlalu licin atau terlalu rosak, menyebabkan risiko keselamatan meningkat. Oleh itu, menilai keadaan turapan secara objektif adalah penting bagi memastikan tahap keselamatan optimum dicapai.
Permukaan Sentuhan Tayar dan Jalan
Permukaan sentuhan antara tayar dan jalan merupakan elemen kecil dari segi saiz, namun memainkan peranan yang sangat besar dalam keselamatan jalan raya. Dalam kajian keselamatan trafik, interaksi ini dianggap sebagai salah satu konsep paling asas tetapi paling kritikal kerana di sinilah kemampuan kenderaan untuk membrek, memecut, mengambil selekoh dan mengekalkan kestabilan ditentukan.
Geseran yang terhasil daripada sentuhan tayar–turapan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk jenis agregat yang digunakan, tekstur mikro dan makro permukaan turapan, kelajuan kenderaan, keadaan cuaca serta jenis dan keadaan tayar itu sendiri. Menariknya, kajian mendapati bahawa pengurangan hanya sebanyak 20 peratus dalam rintangan gelinciran boleh meningkatkan risiko kemalangan sehingga 35 peratus di jalan basah, menunjukkan betapa sensitif dan pentingnya ciri geseran ini terhadap keselamatan.
Dari semasa ke semasa, permukaan turapan jalan juga mengalami proses penggilapan akibat tekanan berterusan daripada lalu lintas berat, khususnya kenderaan seperti lori. Proses ini secara perlahan mengurangkan rintangan gelinciran sehingga mencapai tahap keseimbangan tertentu yang bergantung kepada intensiti trafik dan ketahanan agregat terhadap penggilapan. Lebih ketara lagi, pada hari yang panas, rintangan gelinciran lazimnya berada pada tahap paling rendah, menjadikan risiko kemalangan meningkat walaupun permukaan jalan kelihatan kering dan tidak berbahaya.
Pengaruh Kekasaran Jalan
Selain rintangan gelinciran, kekasaran permukaan jalan turut memainkan peranan besar dalam menentukan keselamatan pemanduan. Kekasaran ini biasanya diukur melalui Indeks Kekasaran Antarabangsa (IRI), di mana nilai IRI yang tinggi menunjukkan permukaan jalan yang lebih kasar atau beralun.
Keadaan ini menyebabkan kenderaan lebih sukar dikawal terutamanya pada kelajuan tinggi kerana pemandu perlu melakukan pelarasan stereng secara berterusan bagi mengekalkan kestabilan. Getaran berlebihan yang dialami semasa pemanduan di jalan yang kasar turut menyebabkan pemandu lebih cepat letih, sekali gus meningkatkan risiko kecuaian dan kehilangan fokus.
Kajian telah menunjukkan bahawa setiap peningkatan 1 m/km dalam nilai IRI boleh meningkatkan risiko kemalangan antara satu hingga tiga peratus, menggambarkan hubungan yang jelas antara kekasaran permukaan dan keselamatan. Lebih membimbangkan, kekasaran yang berlebihan turut mengurangkan keberkesanan sistem membrek dan memanjangkan jarak berhenti, keadaan yang amat berbahaya terutama di lebuh raya berkelajuan tinggi atau kawasan jalan berbukit dan menurun.
Justeru, kekasaran permukaan jalan bukan sahaja menjejaskan keselesaan pemanduan tetapi turut menjadi faktor penting yang menentukan tahap keselamatan keseluruhan jaringan jalan raya.
Sistem Penarafan Keadaan Turapan
Pelbagai sistem penarafan keadaan turapan digunakan di seluruh dunia bagi menilai tahap kesihatan rangkaian jalan raya, namun Indeks Keadaan Turapan atau Pavement Condition Index (PCI) merupakan antara kaedah yang paling meluas penggunaannya, termasuklah di negara kita. PCI ini berfungsi untuk menilai keadaan turapan secara komprehensif dengan mengambil kira jenis kerosakan yang berlaku, tahap keterukan kerosakan tersebut serta taburannya pada sesuatu segmen jalan tersebut.
Melalui penilaian ini, pihak berkuasa dapat memperoleh gambaran objektif mengenai keadaan sebenar turapan, seterusnya merancang kerja penyelenggaraan berdasarkan keutamaan yang kritikal dan bukan hanya bertindak selepas kerosakan mencapai tahap serius.
Menariknya, jalan yang mencatat PCI bernilai 85 ke atas dikategorikan sebagai berada dalam keadaan sangat baik, namun segmen jalan dalam keadaan sebegini sering menunjukkan kelajuan trafik melebihi had yang dibenarkan kerana permukaan yang terlalu licin atau terlalu rata cenderung menggalakkan pemanduan laju. Sebaliknya, PCI bernilai 40 ke bawah menandakan turapan berada dalam keadaan gagal dan sangat berisiko menyumbang kepada kemalangan, khususnya di kawasan yang mempunyai trafik tinggi.
Negara-negara maju seperti Jepun dan Jerman turut menetapkan piawaian minimum PCI bagi lebuh raya mereka sebagai langkah memastikan seluruh rangkaian jalan kekal selamat dan berkualiti secara konsisten. Di Malaysia, penilaian PCI yang dijalankan secara berkala oleh agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), PLUS Malaysia Berhad (PMB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membolehkan keperluan rawatan turapan dikenal pasti dengan lebih tepat. Antara kerja yang dijalankan termasuklah seperti tampalan, kopak dan tampal dan juga pembinaan semula, bergantung kepada tahap kerosakan dan keperluan operasi jalan tersebut.
Penilaian Keadaan Jalan
Secara umumnya, penilaian keadaan jalan perlulah dilaksanakan secara proaktif dan bukannya secara reaktif. Ini kerana penyelenggaraan yang hanya dilakukan selepas kerosakan menjadi serius sering membawa risiko keselamatan yang lebih tinggi serta kos pembaikan yang jauh lebih besar. Pendekatan proaktif menekankan keperluan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal kemerosotan turapan dan melaksanakan tindakan pencegahan sebelum risiko menjadi kritikal. Dapatan daripada beberapa buah negara menunjukkan bahawa strategi ini mampu mengurangkan kadar kemalangan antara 25 sehingga 40 peratus, di samping menjimatkan kos penyelenggaraan jangka panjang dan memanjangkan jangka hayat turapan sehingga 30 peratus.
Penilaian menyeluruh terhadap keadaan jalan tidak seharusnya menumpukan kepada kerosakan fizikal semata-mata, tetapi turut mempertimbangkan faktor lain seperti taburan trafik, keadaan cuaca setempat, sejarah kemalangan serta interaksi antara keadaan turapan dengan tingkah laku pemandu. Pendekatan holistik sebegini membolehkan risiko keselamatan dikenal pasti lebih awal dan tindakan pembaikan atau peningkatan infrastruktur dibuat secara lebih tepat dan berkesan.
Selain itu, terdapat beberapa fakta menarik yang sering terlepas daripada perhatian umum, tetapi sangat penting dalam memahami hubungan antara turapan dan keselamatan jalan raya. Sebagai contoh, sebanyak 80 peratus kemalangan di jalan basah berlaku dalam tempoh tiga puluh minit pertama selepas hujan mula turun. Ketika ini, minyak, debu dan kotoran yang terperangkap di permukaan jalan terangkat dan mengurangkan geseran di antara tayar dan permukaan turapan secara drastik.
Negara seperti New Zealand contohnya pula menggunakan agregat anti-lelasan pada lebuh raya berkelajuan tinggi bagi memastikan rintangan gelinciran kekal optimum sepanjang tahun. Kajian di Eropah mendapati bahawa setiap RM1 yang dilaburkan untuk meningkatkan geseran turapan mampu menjimatkan di antara RM20 sehingga RM40 dalam kos kemalangan, menunjukkan pulangan keselamatan yang sangat signifikan.
Menariknya, permukaan jalan yang terlalu licin turut membawa bahaya kerana ia mendorong pemanduan melebihi had selamat, satu fenomena yang dikenali sebagai “smooth pavement paradox.” Turapan yang rosak bukan sahaja meningkatkan potensi kemalangan, tetapi juga memberi kesan ekonomi melalui peningkatan penggunaan bahan api dan kerosakan kenderaan. Kesemua dapatan ini mengukuhkan keperluan untuk menilai keadaan jalan secara konsisten dan berasaskan data bagi memastikan keselamatan rangkaian jalan raya negara sentiasa berada pada tahap optimum.
Kesimpulan
Keselamatan jalan raya tidak boleh dinilai daripada satu perspektif semata-mata kerana ia merupakan hasil interaksi kompleks antara infrastruktur fizikal, tingkah laku pemandu, keadaan cuaca, keadaan kenderaan dan tidak kurang pentingnya, keadaan turapan jalan raya. Dalam konteks ini, sistem penarafan turapan seperti PCI bukan sekadar alat teknikal, tetapi menjadi instrumen strategik bagi memastikan rangkaian jalan raya negara berada pada tahap prestasi yang optimum.
Penilaian yang dilaksanakan secara teliti, konsisten dan berasaskan data membolehkan pihak berkuasa meramal kerosakan dengan lebih awal, merancang penyelenggaraan secara lebih tepat, mengurangkan risiko kemalangan serta menyediakan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna.
Akhirnya, keselamatan jalan raya tidak bergantung semata-mata kepada teknologi canggih atau peralatan moden, tetapi bergantung kepada pemahaman yang mendalam tentang bagaimana turapan berfungsi serta bagaimana ciri fizikalnya mempengaruhi tingkah laku pemandu dan keselamatan jutaan pengguna jalan raya setiap hari. Pendekatan menyeluruh terhadap penilaian dan penyelenggaraan turapan merupakan kunci utama dalam usaha memastikan jalan raya yang lebih selamat dan mampan untuk semua.
Penulis :

Che Shobry Shahid, Pelajar Doktor Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor

Dr. Ahmad Yusri Mohamad, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang

Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor