Meor Adam julang Anugerah Ketua Pengarah, kini ‘in demand’ di hotel EQ KL

KOLEJ KOMUNITI ARAU
11 August 2026
Alumni, BERITA

ARAU, 7 OGOS 2026 – Berpegang teguh kepada prinsip bahawa tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan, Meor Adam bin Meor Azhar, 22, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ketua Pengarah pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Arau (KKA) yang berlangsung baru-baru ini.

Graduan program Sijil Teknologi Elektrik (SKE) itu membuktikan bahawa bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mampu mencorak masa depan cemerlang menerusi komitmen yang konsisten, disiplin tinggi serta sokongan padu keluarga.

Anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Perlis ini menjadikan pengorbanan bapanya iaitu seorang Pengurus Penyelenggaraan Hotel di Ipoh dan ibunya yang merupakan suri rumah sebagai sumber inspirasi utama untuk mengubah taraf hidup keluarga.

“Keluarga kami tidak hidup mewah tetapi ibu bapa tidak pernah membiarkan kami berasa kekurangan. Senyuman dan pengorbanan merekalah yang mengajar saya untuk tidak mudah mengaku kalah,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Mengulas mengenai perjalanan akademiknya, Meor Adam mengakui tidak mempunyai sebarang latar belakang atau asas dalam bidang elektrik sebelum mendaftar di KKA.

Namun berkat azam yang tinggi, beliau bukan sahaja mampu menguasai kemahiran asas pendawaian dan motor elektrik malah berjaya menguasai modul sukar seperti KNX Automation (Automasi Bangunan) menerusi latihan amali berulang kali dan bimbingan pensyarah.

Kecemerlangan beliau tidak terhenti di bilik kuliah semata-mata apabila turut aktif dalam kepimpinan pelajar dengan mengalas tanggungjawab sebagai Bendahari Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) KKA.

Beliau turut menzahirkan penghargaan khusus kepada barisan tenaga pengajar KKA terutamanya Ts. Hafiz dan Encik Hairi Fifi atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan sepanjang pengajiannya.

Kebolehpasaran graduan TVET terbukti apabila Meor Adam terus diserap masuk ke alam kerjaya sebaik sahaja tamat pengajian. Beliau kini berkhidmat sebagai Juruteknik di Jabatan Kejuruteraan, Hotel EQ Kuala Lumpur.

Bagi perancangan masa depan, beliau berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Diploma Kejuruteraan Elektrik dan menyasarkan untuk memperoleh pensijilan profesional sebagai Chargeman.

“Dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, impian terbesar saya adalah untuk bergelar seorang Pensyarah TVET bagi mendidik generasi muda serta melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan yang kompeten,” jelasnya.

Beliau turut menasihati para pelajar yang masih menuntut agar tidak takut mencuba dan sentiasa berdisiplin kerana kejayaan sebenar lahir daripada usaha yang berterusan, penghormatan kepada tenaga pengajar dan doa berterusan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti