Muhammad Shaiful Azmi Tokoh TVET POLIMAS 2024

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
18 December 2024
BERITA, SUARA TV

Suara.TV, 19 November 2024

JITRA – Usaha gigih Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Muhammad Shaiful Azmi Abdul Rahman menceburi bidang pendidikan ternyata membuahkan hasil dan melakarkan kejayaan bersejarah apabila diumumkan sebagai Tokoh TVET POLIMAS pada Hari Akademia POLIMAS 2024 dekat sini, baru-baru ini.

Anugerah ini adalah hasil dari peranan dari khidmat Shaiful Azmi dalam memajukan bidang Pendidikan & Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) dan jasa bakti serta sentuhan magis nya dicurahkan kepada POLIMAS.

Shaiful Azmi dilahirkan pada 4 November 1977 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, berkelulusan Sijil, Diploma Perancangan Bandar & Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM); Ijazah Sarjana Sains Bandar & Komuniti Lestari, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar & Wilayah (Kelas Pertama) UiTM.

Beliau memulakan kerjaya awal sebagai Penolong Pegawai Teknikal di firma perancangan bandar CACM Jururancang, Kuala Lumpur pada 1999 hingga 2000 dan bertukar ke firma RHS Planners di Negeri Sembilan sehingga 2002.

Beliau kemudiannya bertugas sebagai Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur pada 14 Mac 2002, kemudiannya bertugas di Majlis Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2002.

Hasil dari kecemerlangannya, beliau telah dinaikkan pangkat pada 1 Oktober 2010 sebagai Ketua Bahagian Perancangan dan Landskap.

Pada 1 Oktober 2012 beliau menerima perlantikan sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa di Pejabat Projek Zon Tengah, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur.

Disebabkan kecintaannya dalam dunia pendidikan beliau telah menukar kariernya asalnya kepada Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi pada 1 November 2012 dan ditempatkan sebagai Pensyarah POLIMAS sehingga sekarang.

Sebagai pensyarah yang bukan sahaja tugasnya sebagai tenaga pengajar, beliau juga telah banyak melibatkan diri dengan aktiviti penyelidikan, inovasi dan kolaborasi.

Beliau telah merangkul pelbagai pengiktirafan dengan mengondol sebanyak enam pingat emas, dua pingat perak, tiga pingat gangsa, empat projek terbaik selain pernah menjadi penerima anugerah penyelidikan terbaik dan pembentangan terbaik dalam pertandingan inovasi serta penyelidikan dalam bidang teknikal di peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan.

Shaiful Azmi turut berjaya menjalankan projek kolaborasi bersama enam pihak berkuasa tempatan dengan output yang berimpak tinggi.

Dengan kepakaran dalam bidang perancangan bandar, rekabentuk bangunan dan senibina landskap, secara konsisten membantunya dalam mencapai sasaran KPI bagi Centre of Town and Regional Planning (CToP) POLIMAS sejak 2013.

Bukan sahaja berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, beliau juga turut aktif dalam aktiviti seni budaya sehingga dilantik sebagai Pegawai Kebudayaan POLIMAS.

Hasil usahanya dalam merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti seni kreatif, maka terlahirnya ramai bakat muda di kalangan pelajar yang mampu membuat persembahan seni pentas yang besar sehingga menerima pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan.

“Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT, saya terharu serta gembira dalam tangisan dan tidak menyangka langsung dipilih sebagai penerima anugerah utama in.

“Jutaan terima kasih kepada keluarga yang sentiasa menyokong segala usaha dalam kariernya selama ini, kepada pengurusan atasan POLIMAS yang memberi kepercayaan kepadanya dalam melaksanakan pelbagai tugasan sehingga diiktiraf seperti ini,”kata Shaiful Azmi.

“Tak lupa juga kepada rakan-rakan sekeliling yang telah banyak membantu, menyokong dan membimbing sepanjang perjalanan saya sebagai tenaga pengajar di POLIMAS ini.

“Terima kasih atas penghargaan ini dan momentum gerak kerja akan terus dipacu bagi manafaat kepada organisasi dan anak bangsa dalam kecemerlangan TVET, ”katanya.

“Segala tugasan yang diberikan kepada saya sebelum ini telah disempurnakan dengan ikhlas demi ingin memperlihatkan bidang teknikal terus maju dengan nilai kreatif dan inovatif yang berpaksikan kepada kelestarian landskap sosial masa hadapan, ”katanya lagi.

Terdahulu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris dalam ucapannya berkata, Hari Akademia diadakan untuk memberikan penghargaan kepada ahli akademik dan warga POLIMAS secara umumnya kepada pensyarah yang telah berjaya menonjolkan kecemerlangan diri sepanjang setahun yang lalu.

Rosli berkata, program ini digabungkan dengan Perhimpunan Bulanan bagi menghargai mereka yang telah memberikan komitmen yang sangat tinggi dalam menjayakan pelbagai aktiviti dan program di dalam atau luar POLIMAS.

Antara penerima lain, Anugerah Pembelajaran dan Pengajaran: Noor Amani Salleh dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik; Anugerah Pensyarah Cemerlang : Mohd Zulfahmi Mohd Zawawi (Jabatan Kejuruteraan Elektrik); Anugerah Pensyarah Harapan: Dr. Siti Muyassarah Abd Nasir (Jabatan Perdagangan), dan Anugerah Pensyarah Harapan: Mazuin Stapah@Salleh (Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi).

Selain itu, Anugerah Mentor Keusahawanan : Nurbaya Ghazali ( Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi); Anugerah Ikon Sukarelawan : Saiful Nizam Sa’ari (Jabatan Kejuruteraan Elektrik); Anugerah Ikon Kokurikulum : Md Nasir Md Safar (Jabatan Kejuruteraan Awam); Anugerah Penyelidikan dan Inovasi: Siti Noor Zilawati Mingat@ Minhad (Jabatan Kejuruteraan Awam); Anugerah Penerbitan: Dr. Dzulkarnain Musa; Anugerah Ikon Kolaborasi: Wan Nor Harman Wan Yahya, dan Anugerah Sokongan Akademik: Norainiah Abd Rahman

Turut hadir, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr.Mhd Azmin Mat Seman; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya dan Ahli Mesyuarat Pengurusan POLIMAS.-SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti