Mural gergasi di Alor Setar! 150 pelajar IPT zahirkan semangat patriotik! Kanvas Keselamatan Negara!

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
29 June 2026
Aktiviti Pelajar

Program Kanvas Keselamatan Negara Tahun 2026 yang berlangsung di Lorong Selamat, Alor Star, Kedah pada 22 Mei 2026 berjaya menampilkan kolaborasi 
 seni
 luar biasa berskala besar yang menggabungkan kreativiti institusi pengajian tinggi tempatan

Program tersebut membabitkan lukisan mural besar pada lima dinding di lorong berkenaan disertai seramai 150 orang pelajar institusi pengajian tinggi — daripada Pusat Pengajian Industri Kreatif dan  Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM); dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 17 anak muda kreatif yang terdiri daripada gandingan pensyarah dan pelajar POLIMAS membuktikan kepakaran mereka apabila berjaya menterjemahkan mesej kedaulatan negara ke dalam bentuk seni visual berimpak tinggi.

Kumpulan Belia Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan (JBS) tersebut telah mendedikasikan tenaga sepanjang lapan hari bermula 10 Mei 2026 lalu untuk mengerah idea pada satu dinding khas di Lorong Selamat.

Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) serta penajaan syarikat Alatmart ini diwujudkan sebagai kesinambungan kepada kejayaan program tahun lalu (2025).

Pensyarah Penyelaras POLIMAS, Ts. Nadia Che Abd Rani melahirkan rasa bangga yang amat mendalam terhadap komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh para pelajarnya sepanjang program ini berlangsung.

“Komitmen dan disiplin tinggi yang dipamerkan oleh para pelajar sepanjang lapan hari ini membuktikan bahawa golongan mahasiswa bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mampu menyumbang khidmat bakti yang besar kepada komuniti.

“Melalui karya seni visual ini, mereka berjaya menyebarkan mesej keselamatan negara dengan cara yang sangat kreatif dan dinamik,” katanya dalam kenyataan media pada 26 Mei 2026.

Wakil peserta POLIMAS, Muhammad Daniel Ezairy Mohd Yusri, menyifatkan program ini sebagai satu peluang keemasan untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Kami mahu setiap goresan berus pada dinding ini menceritakan peri pentingnya menjaga keharmonian negara. 

Tekstil & Bahan Bukan Tenunan

“Seni ialah bahasa universal, dan menerusi mural ini, kami berharap mesej ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’ dapat menyerap terus ke dalam jiwa setiap pengunjung yang melalui lorong ini,” katanya.

Bagi Nurul Naqiyah Abdul Halim pula, penglibatan dalam projek ini bukan sekadar menguji bakat seni, malah berjaya menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air dalam kalangan mahasiswa.

“Mewarnakan dinding di ruang awam yang bakal menjadi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2026 memberi satu kepuasan yang luar biasa. 

“Ia mengajar kami bahawa tanggungjawab mempertahankan negara boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk, termasuklah melalui sumbangan bakat dan kreativiti belia,” katanya penuh bersemangat.

Sumbangan padu daripada para pelajar IPT ini bukan sahaja berjaya mengubah wajah estetika Alor Setar menjadi destinasi pelancongan bandar yang ikonik, malah meletakkan satu penanda aras baharu bagi penglibatan belia dalam agenda keselamatan komuniti sempena Sambutan Bulan Keselamatan Negara menjelang Julai 2026 ini. – KitaReporters

sumber https://kitareporters.com/

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti