
KOTA BHARU, 11 Jun – Pasukan Robotik Kolej Komuniti Segamat (KKS) sekali lagi mengharumkan nama institusi apabila berjaya membawa pulang Pingat Emas dan gelaran Johan dalam kategori FIRA Autonomous Car Physical Competition (FAC) pada Pertandingan FIRA 19th Malaysia Cup 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 6 hingga 11 Jun 2026 di Politeknik Kota Bharu, Kelantan.
Kontinjen Kolej Komuniti Segamat yang diketuai oleh Ts. Amier Hafizun bin Ab. Rashid, Timbalan Pengarah Pengurusan (TPP), telah menghantar penyertaan dalam tiga kategori utama pertandingan yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai institusi pendidikan seluruh negara.
Kejayaan paling membanggakan dicatatkan menerusi kategori FIRA Autonomous Car Physical Competition (FAC) apabila pasukan bimbingan Encik Firdaus bin Bachok berjaya merangkul Johan, sekali gus membawa pulang pingat emas. Pasukan tersebut diwakili oleh dua pelajar berbakat iaitu Abdul Muhaimin bin Sahren dan Thiban Kumar a/l Vellusamy yang mempamerkan kemahiran tinggi dalam pembangunan dan pengendalian kenderaan autonomi.
Dalam kategori Sumo Warrior 1KG, pasukan KKS turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila berjaya bersaing sehingga ke peringkat kumpulan. Pasukan ini dibimbing oleh Cik Normadiah binti Mohamad dan dianggotai oleh Muhammad Hafiz Razak serta Ivan Tan Zhen Jie.
Sementara itu, bagi kategori FPV Drone Race, pasukan KKS yang dibimbing oleh Miss Anita a/p Supramaniam berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-8 peringkat kumpulan. Pasukan ini diwakili oleh Ezlan Azariff bin Mohamad Hamizi dan Muhammad Naqib Mahfuz bin Mohamad Johari yang menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung.
Selain membimbing pasukan yang bertanding, Encik Firdaus bin Bachok dan Cik Normadiah binti Mohamad turut diberikan kepercayaan untuk berkhidmat sebagai Jawatankuasa Teknikal Pertandingan, sekali gus membuktikan kepakaran serta pengiktirafan warga akademik Kolej Komuniti Segamat di peringkat kebangsaan.
Pengarah dan seluruh warga Kolej Komuniti Segamat merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua mentor, pelajar serta anggota kontinjen yang telah berusaha gigih demi mengharumkan nama kolej. Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian cemerlang dalam bidang robotik, automasi dan teknologi pada masa akan datang.
“Kejayaan hari ini adalah hasil daripada dedikasi, kerja berpasukan dan semangat inovasi yang tinggi dalam kalangan warga Kolej Komuniti Segamat. Semoga kecemerlangan ini terus menjadi inspirasi kepada generasi pelajar akan datang.”




