Pelajar Kolej Komuniti Baling Menang RM 20 Ribu

UKK JPPKK
14 December 2022
Aktiviti Pelajar, BERITA

31 Oktober 2022, Shah Alam – Pelajar Kolej Komuniti Baling (KKBK) menerusi syarikat pelajar ‘Bellissimo HQ Legacy’ telah dipilih sebagai juara dalam Pertandingan SME Bank 90-Days Business Challenge 2022 seterusnya memperoleh hadiah berupa wang tunai berjumlah RM20 ribu , Piala Pusingan dan Sijil Penyertaan. Hadiah ini telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang telah berlangsung di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam.

Program ini merupakan program kerjasama strategik antara SME Bank dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Fokus utama adalah untuk memantapkan pengurusan dan prestasi perniagaan usahawan pelajar menerusi mekanisma pertandingan yang mewujudkan daya saing yang kompetitif selari dengan penerapan atribut kompetensi keusahawanan kepada pelajar.

Seramai 97 kumpulan yang terdiri dari pelajar politeknik dan kolej komuniti telah menyertai program ini pada tahun ini. Dari jumlah itu, seramai 20 penyertaan telah disenarai pendek.

YBhg. Dato’ Suriani Dato’ Ahmad sewaktu majlis penyampaian hadiah berkata, 20 finalis Program SME Bank 90-Days Biz Challenge 2022 ini telah berjaya mencatatkan jumlah jualan lebih RM598,517.08 sepanjang sepuluh bulan tempoh pertandingan.

“Secara keseluruhannya, sejak program SME Bank 90 Days Biz Challenge dimulakan pada tahun 2015, jumlah nilai jualan yang dicatatkan oleh semua perserta adalah sekitar RM1.43 juta. Ini membuktikan dengan latihan, bimbingan yang bersesuaian serta semangat juang yang tinggi, bidang perniagaan yang diceburi oleh golongan remaja boleh berjaya walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.”

Dalam pertandingan ini, prestasi perniagaan pelajar telah dinilai dalam tempoh 90 hari. Antara kriteria dinilai adalah, pencapaian projek, persembahan, kaedah mengatasi masalah dan persembahan video.

Tempat kedua pertandingan ini dimenangi oleh Pelajar Politeknik Seberang Perai (PSP) menerusi syarikat pelajar ‘Capt Empire’ yang membawa pulang wang tunai RM15 ribu, piala dan Sijil Penyertaan. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Pelajar Politeknik Merlimau (PMM) yang membawa pulang wang tunai RM10 ribu, piala dan Sijil Penyertaan.

Turut hadir, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah, Wakil Ketua Pengarah JPPKK, Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg. Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank dan YBrs. Encik Roslee Yahya, Pengarah Kanan Kompetensi, JPPKK.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti