
Gambang, 12 April 2026 – Seramai 9 orang pelajar Kolej Komuniti Jerantut (KKJP) telah menyertai Kursus Asas Aspirasi Pahang 1st: Kluster Mahasiswa yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 April 2026 bertempat di Agro Resort Semuji, Gambang.
Program ini merupakan inisiatif di bawah gagasan Aspirasi Pahang 1st yang dilancarkan pada Julai 2025, iaitu satu pendekatan strategik kerajaan negeri bagi memperkasa pembangunan ekonomi, memupuk jati diri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Pahang. Gagasan ini diterajui oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dengan matlamat menjadikan Pahang sebagai negeri maju yang berintegriti dan berdisiplin.
Sepanjang kursus ini, para pelajar didedahkan kepada pelbagai pengisian berbentuk kepimpinan, pembinaan sahsiah, serta pemahaman terhadap dasar dan hala tuju pembangunan negeri. Antara fokus utama yang diketengahkan termasuklah Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30), pembangunan belia, pendidikan dan pembinaan jati diri, serta peningkatan kualiti perkhidmatan awam.
Menurut pihak penganjur, kursus ini juga selari dengan penubuhan Akademi Pahang 1st, yang berperanan melahirkan pemimpin akar umbi dan generasi muda yang berdaya saing, berintegriti serta mempunyai semangat cintakan negeri.
Hasil daripada penyertaan ini, para pelajar dilihat berjaya menghayati aspirasi kerajaan Negeri Pahang, khususnya dalam aspek kepimpinan, disiplin dan tanggungjawab sebagai generasi pewaris negeri. Pendedahan ini diharap dapat membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah mempunyai nilai jati diri yang tinggi serta kesedaran terhadap pembangunan masyarakat dan negeri.
Pihak Kolej Komuniti Jerantut berharap agar penyertaan ini menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus aktif menyumbang idea dan tenaga dalam menjayakan agenda pembangunan negeri selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
“Diharapkan pelajar KKJP bersama-sama berusaha menjayakan aspirasi ini demi masa depan negeri Pahang yang lebih gemilang,” ujar Aleycianie Paulus wakil pelajar Sijil Pemprosesan Makanan (SPK), Kolej Komuniti Jerantut.
