

KUALA LUMPUR, 22 Disember 2025 – Politeknik Muadzam Shah (PMS), Pahang sekali lagi mencipta kejayaan membanggakan apabila pelajarnya cemerlang dalam 5th Malaysia Taekwondo Invitational Championship 2025 yang berlangsung pada 20 hingga 21 Disember 2025 bertempat di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Dalam kejohanan berprestij tersebut, PMS telah menghantar satu pasukan terdiri daripada dua orang atlet lelaki dan berjaya membawa pulang dua pingat, iaitu satu pingat emas dan satu pingat gangsa dalam kategori Open 18 Tahun Sparring Individu. Pencapaian ini membuktikan keupayaan atlet PMS untuk bersaing di peringkat kebangsaan meskipun berdepan saingan sengit daripada peserta pelbagai institusi dan kelab.

Pasukan Taekwondo PMS diwakili oleh Mizan Muktafi Bin Rosli (JP) dan Harith Lee Bin Muhammad Hafizuddin Lee (JPH). Kedua-dua atlet mempamerkan semangat juang tinggi, disiplin latihan yang konsisten serta ketahanan mental yang kuat sepanjang kejohanan berlangsung.
Pasukan ini turut diiringi oleh Encik Mohd Noor Bin Salleh serta Ashraff Izz Danish Bin Shahzilan Nor, pelajar JKM Semester 3 DRA 3B yang juga bertindak sebagai jurulatih pasukan. Peranan pengiring dan jurulatih amat signifikan dalam memastikan persediaan rapi serta strategi pertandingan yang berkesan bagi atlet PMS.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan PMS dalam menyokong pembangunan sahsiah dan bakat pelajar melalui bidang sukan, selaras dengan usaha melahirkan graduan seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Taekwondo PMS atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan.

