Pelajar POLYCC Jalani Latihan Industri di Doha

UKK JPPKK
26 September 2022
Aktiviti Pelajar, BERITA

23 September 2022 , Sepang- Seramai 35 orang pelajar bidang hospitaliti dari Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pengajian Tinggi bakal menjalani latihan industri di Holiday Villa Doha, Qatar bermula Oktober sehingga Disember 2022.

Program latihan industri di Politeknik dan Kolej Komuniti adalah satu syarat bagi setiap pelajar untuk melayakkan pelajar dianugerahkan Sijil dan Diploma bagi program pengajian mereka. Latihan industri ini juga membolehkan mereka mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari sepanjang tempoh pengajian mereka.

Kerjasama kolaborasi strategik JPPKK yang terjalin bersama industri membolehkan pelajar diberi peluang keemasan dalam menjalani latihan industri di peringkat antarabangsa di bawah rangkaian syarikat Holiday Villa Hotels & Resorts di Doha, Qatar.

Pelajar yang terlibat adalah, 16 orang pelajar Sijil Pastri, Kulinari dan Operasi Perhotelan dari Kolej Komuniti Selayang, 7 orang pelajar Diploma Pengurusan Hotel dari Politeknik METro Kuala Lumpur, 5 orang pelajar Sijil Seni Kulinari dari Langkawi Tourism Academy-Kolej Komuniti, 3 orang pelajar dari Sijil Kulinari dan Operasi Perhotelan Kolej Komuniti Chenderoh, 2 orang pelajar masing-masing dari Diploma Pengurusan Resort Politeknik Kota Kinabalu dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin serta 4 orang alumni Sijil Kulinari Kolej Komuniti Sungai Petani.

Anis Aliyana Farhah binti Yusairi Amit dari Program Kulinari, Kolej Komuniti Selayang berkata bahawa peluang yang diberikan ini adalah sekali seumur hidup dan dengan pengalaman ini beliau akan membina kerjaya dalam bidang kulinari pada peringkat yang lebih tinggi serta merealisasikan cita-cita menjadi seorang Chef yang dikenali.

“Saya sangat gembira kerana ni merupakan cita-cita saya dan saya berharap saya dapat kekalkan momentum dalam berkhidmat dari hari pertama sehingga habis. Saya akan mencari seberapa banyak pengalaman supaya saya dapat mencipta kerjaya dalam bidang perhotelan di masa hadapan,” kata Muhammad Shah Hazimi bin Azlan Shah, Alumni Program Operasi Perhotelan Kolej Komuniti Selayang ketika ditemui sebelum berlepas.

Latihan industri yang dijalankan ini membolehkan para pelajar di bawah JPPKK mendapat pengalaman yang lebih meluas di bidang mereka disamping melahirkan graduan yang mempunyai kompeten dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan semasa. Selain itu, pelajar berpeluang dalam mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi di negara luar ini dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara di masa akan datang.

Penerbangan pertama pelajar ke Doha telah bermula pada 22 September dan penerbangan terakhir adalah pada 27 September 2022 ini.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti