Pelajar Teknologi Senibina KKA Menyerlah di Program Chill & Chat with Amin Abid

KOLEJ KOMUNITI ARAU
15 April 2025
Akademik, Aktiviti Pelajar, BERITA, Penyelidikan dan Inovasi

ARAU, 10 April 2025 – Seramai 47 pelajar dari Kolej Komuniti Arau (KKA) telah menyertai program Chill & Chat with Amin Abid anjuran pelajar Diploma Pengurusan Acara Semester 2, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).

Program ini menampilkan pasangan kembar kreatif popular, Amin dan Abid yang dikenali sebagai Phineas & Ferb Malaysia menerusi kandungan DIY inspiratif di media sosial. Sesi bual bicara bertajuk Study vs Content Creator turut diselitkan dengan pertandingan inovasi pelajar antara institusi.

KKA menghantar 10 kumpulan inovasi melibatkan tiga program utama iaitu Program Teknologi Senibina, Program Teknologi Pemprosesan Makanan dan Program Teknologi Maklumat. Tiga kumpulan dari Program Teknologi Senibina berjaya meraih pencapaian membanggakan.

Kumpulan Tayar Apung Pemindah Anak Padi telah mencuri tumpuan apabila meraih Pingat Emas dan dinobatkan sebagai Tempat Pertama Inovasi Terbaik. Kumpulan ini dianggotai oleh Noor Annisa binti Zulkefli, Muhammad Amar Afiq bin Suhaidi dan Nur Zafirah binti Zahalan dengan bimbingan pensyarah, En. Rosminey bin Ahmad. Inovasi mereka menampilkan satu penyelesaian kreatif dalam bidang pertanian yang berpotensi tinggi untuk dimanfaatkan oleh para petani tempatan.

Selain itu, kumpulan Floating Tyre ResQ turut mencatat kejayaan apabila memenangi Pingat Perak. Kumpulan ini diwakili oleh Siti Umira binti Abdul Rahman, Nur Maisarah binti Aziz, Nur Masyitah binti Aziz dan Nurul Fatin Najwa binti Yusri Lou di bawah bimbingan En. Kamrul Zaman bin Hussin. Inovasi mereka memberi penekanan kepada aspek keselamatan dan penyelamatan di kawasan air.

Turut membawa pulang Pingat Perak ialah kumpulan Bendang Water Filter (BWF) yang dianggotai oleh Anis Syaimak binti Shafie, Muhammad Anas Fathi bin Mohd Syuqi, Nur Adila binti Abdullah dan Mohammad Syafiq Aiman bin Mohammad Fazlee. Mereka dibimbing oleh Pn. Hasnurul Nazimah binti Hashim dan menghasilkan inovasi penapis air yang mampu memberikan manfaat kepada komuniti luar bandar, khususnya petani di kawasan sawah padi.

Pencapaian ini jelas menunjukkan komitmen, daya cipta dan kebolehan pelajar Program Teknologi Senibina dalam menghasilkan inovasi yang bukan sahaja praktikal, malah mempunyai nilai komersial serta sosial yang tinggi. KKA terus membuktikan kecemerlangan dalam melahirkan pelajar berdaya saing dan berpotensi tinggi dalam bidang teknikal dan inovasi.

Penyertaan ini memberi pendedahan bermakna kepada pelajar dalam aspek inovasi, reka bentuk dan penyelesaian masalah. Ketua Program Teknologi Senibina, Ts. Nur Syazalina binti Hanafi, merakamkan tahniah kepada semua peserta dan berharap kejayaan ini akan mendorong lebih ramai pelajar untuk aktif dalam pertandingan berimpak tinggi pada masa akan datang.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti