Pelajar teruja ikuti kelas bahasa Mandarin di China

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
18 July 2024
Akademik

16 Julai 2024, Kuantan – “ Pengalaman yang sangat menarik bagi saya ialah ketika mengikuti kelas bahasa Mandarin. Saya turut diajar berdialog dalam bahasa Mandarin secara rasmi dan tidak rasmi.

“ Saya juga berpeluang mempelajari pelbagai karakter dalam tulisan cina, kaligrafi berunsurkan alam semula jadi dengan kaedah pembelajaran yang seronok, interaktif dan mudah difahami ”, ujar Nur Ridwana Wafey Mohd Fairus, 20, pelajar Diploma Sains Kesetiausahaan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS).

Tambah beliau lagi, pensyarah juga amat berpengelaman dalam bidang bahasa dan sering menerapkan nilai-nilai murni kasih sayang, kekeluargaan dan keikhlasan.

“Pensyarah juga pernah menetap di Malaysia selama tiga tahun dan setiap kali sebelum kelas bermula, beliau akan memainkan lagu kanak-kanak Malaysia bagi menarik minat dan semangat untuk memulakan pembelajaran”, katanya lagi.

Nur Ridwana Wafey merupakan salah seorang pelajar yang terlibat dalam Program Mobiliti Pelajar POLISAS ke Guangzhou Huashang Vocational College dan Guangdong Polytechnic of Science and Technology, China sempena Malaysia-China Youth TVET Training Program (MCYTT) 2024.

MCYTT 2024 merupakan inisiatif Belt and Road Initiative (BRI) China yang digerakkan bersama Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) dan Tang Chinese Education.

Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan pengalaman mobiliti antarabangsa dan untuk meningkatkan kemahiran dan pengalaman penggunaan teknologi di institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China.

Seramai 10 staf dan 32 pelajar POLISAS dari Jabatan Perdagangan, Jabatan Teknologi Makanan, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal telah berlepas ke China pada 13 Julai lalu dan program akan berakhir pada 25 Julai ini.

Hadir sama ketika sesi pelepasan delegasi POLISAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan adalah Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim, Setiausaha Agung merangkap Ketua Projek Belia Mahir, Mohammad Rizan Hassan serta wakil Tang Chinese Education and Technology Malaysia Sdn. Bhd., Radin Adnan Radin Meli.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti