Pembukaan Sun Buff Cafe Pupuk Keusahawanan Pelajar

UKK JPPKK
12 March 2023
BERITA, Umum

LANGKAWI, 8 Januari 2023
– Langkawi Tourism Academy @ Kolej Komuniti Langkawi (LTA@KKLK) sentiasa komited
dalam memberi peluang kepada pelajarnya mengetengahkan bakat khususnya dalam
bidang keusahawanan. Lantaran itu, LTA@KKLK melalui kelab keusahawanannya telah diberi tanggungjawab
dalam mengendalikan sebuah kafe yang dikenali sebagai Sun Buff Café. Pembukaan
kafe ini bukan sahaja dapat memberikan pendedahan kepada pelajar dalam
menguruskan sesuatu perniagaan malah dapat menjana pendapatan secara
berterusan.

Projek keusahawanan ini telah dirasmikan oleh
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari
Ismail ketika beliau mengadakan lawatan rasmi ke institusi tersebut hari ini. Beliau
berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) amat menitikberatkan elemen
pembelajaran kepada pelajar.

“Subjek seperti Digital Entrepreneurship
dan keusahawanan sebagai satu contoh yang dapat diterapkan seperti mempelajari
tentang prinsip keusahawanan”.

“Saya berharap agar kafe yang diusahakan oleh
pelajar ini dilihat sebagai penanda aras kepada para usahawan di luar, dimana
kolej komuniti berjaya menyediakan platform untuk belajar memulakan perniagaan”,
ujar beliau dalam ucapan sempena perasmian kafe tersebut hari ini.   

Kafe yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar
ini juga merupakan salah satu kaedah untuk mempersiapkan pelajar memiliki daya
saing terutamanya sewaktu mereka berada di dalam industri sebenar kelak.
Seramai lapan orang pelajar telah didedahkan secara langsung dalam menguruskan
perniagaan tersebut bermula daripada proses pendaftaran syarikat, pempromosian
perniagaan, pembelian serta penyediaan bahan-bahan mentah.

Sun Buff Café turut memiliki tarikannya yang
tersendiri dimana terdapat menu yang dihasilkan adalah berasaskan kepada daging
kerbau seperti Kebo Burger, Kebo Nachos dan Kebo Meatball. Perkataan Kebo
adalah merujuk kepada kerbau. Terdapat dua sesi bagi waktu operasi kafe ini iaitu
pagi dan petang. Waktu operasi bagi sesi pagi adalah mulai jam 8 pagi sehingga
12 tengahari dan mulai 5 petang sehingga 10 malam bagi sesi petang. 

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti