
ARAU – Bergelar seorang pelajar biasa di bangku sekolah bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan di menara gading. Prinsip ini dibuktikan oleh graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Muhammad Aliff Suffian Mohamed Salizan, apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ketua Pengarah sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026.
Pengiktirafan berprestij itu melengkapkan perjalanan cemerlang beliau di PTSB yang bukan sahaja menyerlah dalam bidang akademik malah merangkumi pencapaian membanggakan dalam aspek inovasi, penguasaan kemahiran, kepimpinan dan pembangunan sahsiah diri.
Anak sulung daripada tiga beradik ini berjaya menamatkan pengajiannya dengan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.76. Anak kelahiran Alor Setar yang membesar di Pulau Pinang ini mengakui pemilihan tersebut merupakan satu kejutan besar buat dirinya.
“Saya bukanlah seorang pelajar yang begitu menyerlah semasa di sekolah rendah mahupun menengah. Saya hanyalah pelajar biasa seperti kebanyakan orang. Apabila dimaklumkan terpilih menerima anugerah ini, saya agak terkejut kerana tidak pernah menyangka akan berada pada tahap ini.
“Namun saya bersyukur kerana anugerah ini bukan sekadar satu pengiktirafan tetapi menjadi bukti bahawa usaha yang berterusan, disiplin dan kesungguhan akhirnya akan membuahkan hasil,” ujar beliau.
Di sebalik tumpuan terhadap akademik, Aliff Suffian bijak membahagikan masa dengan aktif mengembangkan kompetensi diri. Beliau menggalas tanggungjawab besar sebagai Yang Dipertua Kompeni Bravo Askar Wataniah PTSB, selain memimpin Program Khidmat Sukarela ke Madrasah Tahfizul Quran Bustanul Jannah di Pattani, Thailand selaku Pengarah Program. Beliau juga menabur bakti sebagai Pembantu Jurulatih Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela.
Menurutnya, penglibatan dalam Askar Wataniah banyak membentuk ketahanan mental dan semangat berpasukan yang utuh.
“Di sinilah saya belajar bahawa kejayaan bukan hanya bergantung kepada bakat atau kebolehan seseorang tetapi dibina melalui disiplin, ketahanan mental, semangat berpasukan dan sikap bertanggungjawab,” jelasnya.
Kecemerlangan Aliff turut terserlah dalam bidang inovasi apabila beliau dan rakan projeknya membangunkan sistem Sea Water Desalination Using Solar with Reverse Osmosis. Projek tahun akhir yang menukar air laut atau sungai kepada air bersih menggunakan tenaga solar itu telah meraih Pingat Perak di Mechanical Engineering Department Final Exhibition and Competition (MEDFEC) 2024 serta International Creative & Innovative Idea Competition (ICIIC) 2025.
Lebih membanggakan, Aliff mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wakil pertama PTSB yang berjaya mara ke peringkat akhir WorldSkills Malaysia Belia 2026 bagi kategori Mekatronik. Kejayaan ini, katanya, banyak didorong oleh sokongan padu pensyarah dan jurulatih, Puan Normawar Ali serta Puan Norshahidah Manaf yang sentiasa memberi bimbingan tanpa jemu.
Di sebalik segunung kejayaan yang diraih, Aliff tidak melupakan jasa kedua-dua ibu bapanya. Bapanya, Mohamed Salizan Mohd Salleh yang mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan, serta ibunya, Anita Osman, seorang suri rumah merupakan tulang belakang kekuatan dirinya. Pesanan ibunya agar sentiasa menjaga solat dan menghormati semua insan tanpa mengira darjat kekal menjadi azimat dalam kehidupannya.
Berbekalkan ilmu dari PTSB, Aliff kini melebarkan sayap kerjayanya sebagai Juruteknik Peralatan di ASE Electronics Malaysia.
“Hampir 80 peratus daripada apa yang saya pelajari di PTSB dapat diaplikasikan dalam pekerjaan sekarang terutamanya yang melibatkan sistem industri, Programmable Logic Controller (PLC), pneumatik dan penyelenggaraan mesin. Ini sangat memudahkan proses penyesuaian diri saya dalam industri semikonduktor,” kongsinya.
Sungguhpun sudah melangkah ke alam pekerjaan, Aliff berhasrat untuk menyambung pengajian secara separuh masa bagi terus mengasah kemahiran teknikalnya. Beliau menitipkan pesanan bermakna buat rakan-rakan mahasiswa agar tidak mensia-siakan peluang yang ada di hadapan mata.
“Kita mungkin tidak mengetahui apa yang menanti pada masa hadapan tetapi kita mampu mencorakkannya melalui usaha yang dilakukan hari ini. Belajarlah bersungguh-sungguh kerana ilmu yang dipelajari hari ini akan menjadi bekalan menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya menutup bicara.
