Pengalaman 30 Tahun Tak Halang Jadi Pelajar Cemerlang: ‘Kamus Bergerak’ PTSB Raih PNGK 4.00 pada Usia 51

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
10 November 2025
Akademik, Aktiviti Pelajar, Alumni, BERITA, Industri, Umum

KULIM, 29 Oktober – Dalam majlis konvokesyen yang lazimnya meraikan graduan muda, seorang graduan berusia 51 tahun mencuri tumpuan bukan sahaja kerana usianya, tetapi kerana membawa portfolio pengalaman yang lebih tua daripada kebanyakan rakan sekelasnya.

Zainal Abidin bin Abdul Talib, bapa kepada empat orang anak, membuktikan bahawa menuntut ilmu bukan untuk memulakan kerjaya semata-mata tetapi untuk mengesah dan memperkukuh kepakaran sedia ada.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam kejuruteraan telekomunikasi termasuk berkhidmat di Indonesia bersama gergasi industri Ericson, Zainal Abidin bukanlah ‘pelajar biasa’. Beliau menyertai program Diploma Profesional Telekomunikasi (PDT) di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) bukan dengan tangan kosong tetapi dengan ilmu penuh di dada.

Rakan-rakan sekelas dan pensyarah cepat menyedari kelebihannya. Beliau digelar ‘kamus bergerak‘ kerana penguasaannya yang mendalam dalam selok-belok telekomunikasi.

“Kami di sini bukan untuk bersaing siapa lebih tahu, tetapi untuk saling melengkapi,” ujar Zainal Abidin ketika ditemui, merendah diri walaupun jelas menjadi rujukan rakan sekelas.

“Saya mungkin ada pengalaman di lapangan tetapi di sini (PTSB), saya belajar struktur, teori terkini dan yang paling penting, pensijilan profesional yang melayakkan saya ke tahap seterusnya.”

Sikap ringan tulang dan sentiasa membantu rakan menjadikannya dihormati. Namun, beliau tidak mengambil mudah pengajiannya. Beliau menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Zainal Abidin adalah bukti hidup bahawa industri dan akademik perlu bergerak seiring. Beliau membawa ‘makmal’ 30 tahun pengalamannya ke dalam kelas.

Kejayaannya tidak terhenti di situ. Beliau turut lulus cemerlang Sijil Profesional Working At-Height (WAH) serta Sijil Kompetensi Fiber Optik (CA1C dan CA2C), melengkapkan pakejnya sebagai pakar industri yang diiktiraf sepenuhnya.

Pihak G2R Sdn. Bhd. turut merakamkan tahniah, melihat pencapaian Zainal Abidin sebagai pemangkin kepada generasi muda untuk tidak berhenti menimba ilmu, walau setinggi mana pun pengalaman mereka.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti