PENSYARAH KOLEJ KOMUNITI ARAU DILANTIK SEBAGAI PANEL HAKIM KARNIVAL STEM PERLIS 2025

KOLEJ KOMUNITI ARAU
21 July 2025
Akademik, BERITA, Penyelidikan dan Inovasi

Arau, 10 Julai 2025 – Empat orang pensyarah dari Kolej Komuniti Arau telah diberi kepercayaan sebagai panel hakim bagi Karnival STEM Peringkat Negeri Perlis 2025 yang berlangsung pada 8 hingga 10 Julai 2025 bertempat di SMK Syed Ahmad, Arau. Karnival ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis sebagai inisiatif memperkasa penglibatan pelajar sekolah menengah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selari dengan agenda negara memperkukuh pendidikan TVET dan inovasi digital.

Pensyarah-pensyarah yang dilantik adalah daripada dua program akademik utama di Kolej Komuniti Arau, iaitu Program Teknologi Senibina dan Program Teknologi Maklumat. Mewakili Program Teknologi Senibina, Ts. Nur Syazalina Binti Hanafi dan Ts. Hazwani Rifhan Binti Halim telah menjadi hakim untuk pertandingan Innovators of Tomorrow, yang menilai projek inovatif pelajar dalam menyelesaikan isu-isu dunia sebenar melalui pendekatan kreatif dan saintifik. Turut serta, En. Wan Muhd Zakwan Bin Wan Zin dilantik sebagai hakim pertandingan Bridge Building, yang menguji kemahiran teknikal dan struktur dalam pembinaan model jambatan menggunakan bahan asas.

Bagi pertandingan Gami-Code, yang mengetengahkan pembangunan permainan digital berasaskan logik pengaturcaraan, En. Abdul Rashid Fahmi Bin Abdullah dari Program Teknologi Maklumat telah dipilih sebagai panel hakim, sekaligus membuktikan kepercayaan pihak penganjur terhadap kepakaran pensyarah TVET dalam bidang teknologi semasa.

Majlis penutup telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Julai 2025 dan menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori pertandingan. Lebih membanggakan, beberapa pasukan yang memenangi tempat teratas akan mewakili negeri Perlis ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan STEM peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung dalam suku akhir tahun ini.

Pelantikan pensyarah Kolej Komuniti Arau sebagai hakim karnival ini bukan sahaja mengiktiraf keupayaan profesional mereka dalam bidang masing-masing, tetapi turut mencerminkan komitmen institusi terhadap pembangunan pendidikan STEM di peringkat akar umbi. Peranan aktif ini juga membuka ruang kolaborasi yang lebih erat antara kolej komuniti dan sekolah-sekolah menengah dalam melahirkan pelajar celik teknologi, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Penglibatan ini selari dengan aspirasi Kolej Komuniti Arau untuk terus memperkukuh jaringan pendidikan komuniti serta menyumbang secara langsung dalam memacu pembangunan modal insan berteraskan TVET dan STEM di Malaysia.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti