
Tanjung Malim, 20 Mei 2025 – Pensyarah Kolej Komuniti Arau, Encik Wan Muhd Zakwan bin Wan Zin telah mencatat pencapaian membanggakan apabila terpilih sebagai salah seorang daripada 102 juri dalam program inovasi pendidikan berprestij, International Education Innovation Competition (Edu@Innovate 2025) yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada 19 dan 20 Mei 2025.
Beliau yang merupakan tenaga pengajar dalam bidang Teknologi Senibina dipilih oleh pihak urusetia berdasarkan kepakaran serta sumbangannya dalam bidang pendidikan dan inovasi. Pelantikan ini menjadi satu pengiktirafan terhadap keupayaan warga Kolej Komuniti dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.
“Saya berbesar hati diberi peluang menjadi antara 102 juri yang dipilih oleh pihak urusetia. Ia satu penghargaan besar bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga untuk Kolej Komuniti Arau,” katanya ketika ditemui selepas sesi penjurian.
Program Edu@Innovate 2025 berjaya menghimpunkan lebih 200 penyertaan daripada pelbagai institusi pendidikan seluruh negara dan luar negara. Pertandingan ini memberi tumpuan kepada inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran dengan matlamat memupuk budaya kreatif, berinovasi dan berimpak tinggi dalam sistem pendidikan Malaysia.
Penyertaan Encik Wan Muhd Zakwan sebagai juri membuktikan bahawa pensyarah Kolej Komuniti turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mampu menyumbang secara aktif dalam ekosistem inovasi pendidikan negara.