Pertandingan boules meriahkan program Master Sports Sarawak 2025

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
02 September 2025
BERITA, Sukan

KUCHING, 2 Sept. – Gelanggang Petanque IKM Kuching menjadi saksi kemeriahan Pertandingan Boules sempena Program Master Sports Peringkat Negeri Sarawak 2025 yang dianjurkan bersama Kolej Komuniti Kuching dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, di sini, baru-baru ini.

Pertandingan yang menghimpunkan seramai 25 pasukan ini menampilkan kategori Terbuka Veteran (40–60 tahun) dan berjaya menyerlahkan bakat serta semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan peserta. Kolej Komuniti Kuching sendiri menghantar tiga pasukan regu, dengan salah satunya berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik. Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan dan daya saing tinggi warga kolej dalam arena sukan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Fatimah Ibrahim, Penolong Pengarah Bahagian Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak yang mewakili Tuan Lamat Anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Johan, Naib Johan, tempat ketiga dan keempat menerima hadiah berupa wang tunai, medal serta sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan atas prestasi cemerlang mereka.

Penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak IKM Kuching atas kebenaran menggunakan gelanggang petanque serta kepada semua pasukan yang telah menyumbang kepada kelancaran pertandingan. Program seumpama ini bukan sahaja mengangkat sukan boules sebagai aktiviti riadah yang inklusif, malah berperanan memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan demi pembangunan sukan komuniti.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti